MELAKA: Cuaca diramal hujan di negeri ini pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.
Mengikut laman sesawang Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), cuaca di sebelah pagi dijangka hujan di satu dua tempat, manakala ribut petir juga dijangka berlaku pada waktu petang.
Dalam pada itu, suhu dijangka berada pada tahap rendah 23 darjah celsius dan maksimum 32 darjah celsius.
Berdasarkan info itu lagi, cuaca pada waktu malam bagaimanapun dalam keadaan baik dan tidak hujan.
Untuk rekod, seramai 476,037 orang pengundi biasa daripada 495,195 pengundi berdaftar layak mengundi pada manakala seramai 11,557 orang adalah pengundi awal dan 7,601 telah mengundi secara pos.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan turut memaklumkan para pengundi boleh membuat semakan masa digalakkan melalui aplikasi MySPR Semak.
“Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar yang digalakkan atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 8 pagi sehingga 5.30 petang,” katanya. -UTUSAN ONLINE