PUTRAJAYA: McDonald’s Malaysia menunaikan tanggungjawabnya membayar zakat perniagaan berjumlah RM2 juta untuk diagihkan kepada 14 agensi pungutan zakat setiap negeri di seluruh negara.
Pembayaran bagi tahun ini adalah jumlah terbesar sejak McDonald’s Malaysia mula membayar zakat perniagaan lima tahun lalu, selepas syarikat itu diambil alih Lionhorn Pte. Ltd., sebuah anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Azmir Jaafar berkata, sumbangan zakat adalah nilai teras syarikat untuk menyumbang kembali kepada masyarakat yang memerlukan bantuan selain melalui program tanggungjawab sosial korporat.
Menurutnya, inisiatif itu tetap menjadi komitmen syarikat sepanjang tempoh pandemik Covid- 19 dan perintah kawalan pergerakan.
“Oleh itu, sumbangan kami pada hari ini amat bermakna yang mana kami mampu menyumbang sebanyak RM2 juta dalam zakat yang juga merupakan jumlah tertinggi kami sehingga kini bagi membantu komuniti yang amat memerlukan,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan zakat McDonald’s kepada wakil 14 agensi pungutan zakat, disaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, di McDonald’s Putrajaya. – UTUSAN ONLINE










