SEREMBAN: Pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) sudah melantik kontraktor bagi menyelesaikan aduan berkenaan longkang yang tidak diselenggara di tiga buah taman perumahan iaitu di Taman Mok Sum, Taman Rasah Utama dan Taman Happy di sini.
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, kontraktor yang dilantik itu akan dimaklumkan minggu hadapan dan kerja-kerja menyelenggara longkang tersebut akan dijalankan secepat yang mungkin.
“Kami maklum mengenai aduan penduduk di Taman Mok Sum, Taman Happy yang ada masalah longkang yang tidak diselenggara. Pihak MBS telah melantik kontraktor dan minggu depan akan dimaklumkan.
“Pada 29 November kami akan keluarkan surat tawaran kepada syarikat kontraktor yang dipilih dan kerja-kerja selenggara akan dilaksanakan selepas itu,” katanya kepada pemberita ketika ketika hadir merasmikan Majlis Pelancaran Mural dan Libat Urus Bersama Pelajar Kolej, Belia, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pelukis dan Media di Lorong Seni Seremban hari ini.
Utusan Malaysia semalam melaporkan aduan penduduk dari tiga buah taman perumahan di Rasah di sini yang mendakwa tiada tindakan diambil daripada pihak berwajib dalam menyelesaikan isu longkang yang tidak selenggara berhampiran kawasan tersebut.
Menurut wakil penduduk, longkang yang tidak diselenggara dengan baik menyebabkan ia tersumbat sekali gus air longkang akan melimpah setiap kali berlaku hujan lebat sekali gus menyebabkan kejadian banjir kilat seperti mana yang berlaku setahun yang lalu sehingga menjejaskan lebih 500 buah rumah.
Sementara itu, Masri memberitahu, pihaknya telah mewujudkan pasukan petugas di lokasi panas yang sering berlaku banjir kilat di daerah ini dengan membersihkan sampah-sampah di lokasi tersebut.
“Kami juga telah meminta syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. memastikan kawasan yang selalu terjejas banjir dapat segera dibersihkan bagi mengelakkan banjir kilat berlaku.
“Setakat ini, pihak kami telah turun padang di kawasan Taman Seremban Jaya dan pekan Nilai bagi melihat kawasan berisiko banjir, bagi kawasan Angsi Ville di Taman Tuanku Jaafar, pihak kami telah membesarkan longkang dan telah melantik kontraktor dengan peruntukan sebanyak RM16 juta,” katanya.
Tambahnya, sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT), MBS menjangka dapat menyelesaikan semua isu berkaitan sampah yang mengganggu sehingga menyebabkan banjir kilat menjelang tahun 2023. – UTUSAN