MBI sedia bantu pemilik kenderaan dihempap pokok tumbang - Utusan Malaysia

MBI sedia bantu pemilik kenderaan dihempap pokok tumbang

RUMAIZI Baharin (kiri) menyampaikan sumbangan kepada Pusat Jagaan Anak-anak Yatim Al-Harraz pada program MBI Prihatin di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bersedia membantu pemilik kenderaan yang dihempap pokok tumbang di Taman Sri Tambun di sini tiga hari lalu.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata,  MBI sedia berunding dengan jabatan kerajaan negeri yang terlibat dalam mencari penyelesaian bersama.

Menurutnya, jalan di lokasi kejadian pokok tumbang itu bukan di bawah kelolaan MBI, namun pihaknya sedia membantu mencari penyelesaian dengan mengadakan perundingan bersama mangsa dan jabatan yang terlibat.

“Pokok di jalan itu bukan dipotong oleh MBI tetapi oleh jabatan kerajaan negeri cuma apabila berlaku kejadian pokok tumbang,  pihak kami membantu membersihkan kawasan tersebut.

“MBI sarankan mereka yang terlibat berjumpa MBI, selepas itu kita tengok macam mana, mungkin kita boleh rundingkan dengan jabatan yang terbabit,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan Barangan Makanan bersama Econsave Cawangan Jelapang di Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Al-Harraz di Taman Cempaka di sini hari ini.

Rumaizi berkata, tidak semua jalan di Ipoh di bawah selenggaraan MBI tetapi ada juga jalan di bawah kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Menurutnya,  jalan di Taman Sri Tambun, tempat kejadian pokok tumbang merupakan jalan di bawah jabatan kerajaan negeri.

“Kalau jalan yang bukan di bawah MBI,  kita boleh bincang dan MBI akan membantu mencari penyelesaian,” katanya.

Sebelum ini tular dalam media sosial beberapa buah kenderaan rosak dihempap sebatang pokok besar di Taman Sri Tambun di sini.

Pemilik kenderaan meminta pihak terlibat tampil bertanggungjawab untuk membantu mereka ekoran kerugian yang besar yang mereka tanggung. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN