PORT DICKSON: Sebuah bot persiaran yang beroperasi tanpa lesen dan insurans di perairan daerah ini ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan kelmarin.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, bot persiaran tersebut yang membawa penumpang ditahan ketika aset Maritim Malaysia melaksanakan rondaan rutin di kedudukan 0.9 batu nautika barat daya Telok Kemang sekitar pukul 7.05 malam.
“Sewaktu pemeriksaan dilakukan, bot persiaran tanpa sebarang tanda nama itu didapati gagal mengemukakan sebarang lesen dan insurans yang sah daripada Jabatan Laut Malaysia untuk beroperasi serta membawa penumpang di perairan Telok Kemang.
“Pengemudi dan pemilik bot persiaran seterusnya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Melaka dan Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Haris Fadzillah berkata, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan serta pematuhan keselamatan di laut.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kesalahan jenayah dan kecemasan di laut diminta terus menghubungi Pusat Operasi Maritim 06-3876730 dan 999 yang beroperasi secara 24 jam,” katanya.