Mara, TalentCorp wujudkan 2,000 peluang pekerjaan - Utusan Malaysia

Mara, TalentCorp wujudkan 2,000 peluang pekerjaan

MAHDZIR KHALID (kiri) dan M. Saravanan (kanan) menyaksikan majlis  MoU antara Mara Corp dan TalentCorp dalam usaha memperkukuh usaha membangunkan modal insan di Hotel Premiera, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mara Corporation Sdn. Bhd. (Mara Corp) mewujudkan 2,000 peluang pekerjaan profesional dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).

Kerjasama itu memberi manfaat kepada graduan institusi pendidikan Majlis Amanah Rakyat (Mara) bagi memperkukuh usaha dalam membangunkan modal insan kompetitif dan menyumbang kepada pertumbuhan tenaga kerja dalam industri serta ekonomi negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerjasama antara dua agensi itu menyasarkan lebih 2,000 peluang pekerjaan profesional kepada graduan Mara terdiri daripada pelajar Institusi Pendidikan Mara (IPMA) serta pelajar di bawah tajaan pelajaran Mara.

Katanya, kedua-dua pihak memfokuskan untuk pembangunan modal insan dan kebolehpasaran graduan dalam ekosistem Mara serta mengoptimumkan inisiatif yang sedia ada dalam TalentCorp.

“Setakat ini Mara melahirkan seramai 64,000 graduan dalam setahun dan berharap daya kebolehpasaran mencapai tahap tertinggi dalam alam pekerjaan.

“Kedua-dua pihak juga akan merangka program khas yang bersesuaian dengan pembangunan modal insan dan kebolehpasaran graduan Mara bagi memastikan graduan yang dilahirkan memenuhi tuntutan industri,” katanya ketika berucap di dalam Majlis Menandatangani MoU Mara Corp dan TalentCorp.

MoU tersebut ditandatangani oleh Pengarah Eksekutif Kumpulan Mara Corp, Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew sambil disaksikan oleh Mahdzir dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan di Hotel Premiera, Kuala Lumpur.

Mahdzir berkata, usahasama antara kementerian dalam agenda pembangunan bakat itu adalah satu platform yang memberi ruang dan peluang kepada graduan untuk mempersiapkan diri di alam pekerjaan.

“Saya percaya kerjasama ini mampu menjadi penghubung laluan kerjaya graduan Mara dengan jaringan syarikat dalam pelbagai industri serta menyediakan satu ruang kerjaya yang lebih signifikan dengan peluang yang lebih baik ditawarkan kepada para pelajar Mara,” katanya.

Dalam pada itu, Saravanan berkata, kolaborasi tersebut sangat penting untuk mewujudkan sebuah agensi atau badan yang boleh menyediakan tenaga buruh bagi menghadapi cabaran pada masa akan datang.

Katanya, kerajaan bersama rakyat  perlu sentiasa bersedia dalam menghadapi cabaran pada masa hadapan berikutan negara dan dunia sedang menghadapi industri revolusi yang sukar.

“Kolaborasi ini perlu mengenal pasti peluang pekerjaan pada masa hadapan iaitu 10 tahun lagi. Apabila kita menyebut tentang pembangunan industri, bererti pekerjaan yang ada pada hari ini akan hilang dan tidak akan berguna lagi.

“Jadi, kerajaan perlu prihatin membantu dan memberikan masa depan yang cukup selesa kepada rakyat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN