GENAP seminggu tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, rata-rata pengundi dilihat menilai inisiatif yang terdapat dalam sesebuah manifesto lebih penting berbanding parti mana menawarkannya.
Pengundi perlu membuat pilihan berdasarkan manifesto yang dapat memberikan manfaat secara keseluruhannya, seperti jaminan kehidupan lebih baik dan pengukuhan ekonomi.
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing memiliki tawaran tersendiri dan inisiatif diperkenalkan juga dilihat dapat ‘memancing’ rakyat untuk mengundi mereka.
Berbeza dengan Perikatan Nasional (PN), amat terkebelakang kerana disifatkan terlalu lewat membentangkan ‘janji’ kepada rakyat.
Namun, cepat atau lambat, apa yang penting inisiatif berkenaan harus realistik dan mesra rakyat kerana pengundi tidak mahu lagi melihat apabila sesebuah parti dipilih kelak, segala janji manis diuar-uarkan gagal ditunaikan dengan memberi pelbagai alasan.
Rakyat mahukan yang terbaik untuk diri mereka, tatkala dua tahun kebelakangan ini cukup perit untuk dilalui angkara pandemik Covid-19.
Bagi penyokong setia BN atau PH, mereka merupakan kelompok yang paling meyakini bahawa manifesto adalah janji yang kebiasaannya dilaksanakan, bukannya sekadar ucapan kosong semata-mata.
Apa yang dibentangkan seperti memberi fokus dan tumpuan menyelesaikan isu yang sering membelenggu masyarakat setempat serta merancakkan semula ekonomi peniaga kecil amat dialu-alukan.
Terdahulu, BN melancarkan manifesto ‘Kestabilan Demi Kemakmuran’ yang menggariskan lima teras dan 103 inisiatif, sementara manifesto PH pula dinamakan ‘Pelan Tindakan – Maju Bersama Harapan’ menggariskan 32 inisiatif. – UTUSAN ONLINE










