Mangsa insiden 'kanvas terbang' hadir di IPD Sepang - Utusan Malaysia

Mangsa insiden ‘kanvas terbang’ hadir di IPD Sepang

TANGKAP layar penunggang motosikal terjatuh selepas kain kanvas terbang dari sebuah lori dan membalutinya di Jalan Cyberjaya baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Penunggang motosikal yang terbabit dengan insiden ‘kanvas terbang’ hadir di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang bagi membuat laporan hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md. Noor Aehwan Mohammad berkata, mereka hadir bagi membantu siasatan.

Katanya, berdasarkan rakaman percakapan penunggang motosikal, Ali Zahid, kejadian berlaku ketika dia bersama rakannya yang menunggang motosikal Yamaha LC135 dari arah Puchong menghala ke Cyberjaya.

“Setibanya di Jalan Cyberjaya (Dengkil)/Puchong) dan ketika menunggang motosikal di lorong tengah, tiba-tiba sebuah kanvas dari sebuah lori yang berada di hadapannya telah tercabut dan melayang lalu terkena pada bahagian hadapan motosikal.

“Keadaan ini menyebabkan pengadu hilang kawalan serta terbabas ke kiri jalan dan terlanggar kenderaan lain yang berada di lorong sebelah kiri motosikal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Md. Noor Aehwan berkata, pengadu yang berusia 26 tahun dan merupakan warga asing itu memaklumkan, ekoran kejadian tersebut dia dan rakannya mengalami kecederaan luka pada beberapa bahagian badan.

“Pengadu turut memaklumkan, selepas kejadian, pemandu lori berkenaan berhenti di tepi jalan memberikan bantuan kepadanya dan rakannya serta membawa mereka ke klinik bagi mendapatkan rawatan.

“Mangsa memberitahu kelewatan membuat laporan polis lewat adalah kerana beranggapan kes kemalangan tersebut telah selesai secara baik,” ujarnya.

Tambah Md. Noor Aehwan, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 42 APJ 1987.

Terdahulu, Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM), Ramli Mohd. Tahir berkata, kejadian itu membabitkan lori sampah milik syarikatnya.

Katanya, KDEBWM melahirkan rasa kesal dengan insiden yang berlaku dan tindakan keras diambil terhadap subkontraktor, pemandu dan krew lori terbabit.

Kejadian yang tular dalam media sosial itu dipercayai berlaku di Kilometer 33.5 Jalan Puchong berhampiran susur menghala Kajang, dekat Sepang, pada 8 pagi Rabu lalu.

Video tular berdurasi 45 saat itu antara lain menunjukkan kanvas lori melayang dan ‘membalut’ badan dua individu yang sedang menaiki motosikal sebelum hilang kawalan dan terlanggar tayar treler bergerak laju. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN