Malaysia tandatangani Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah serta Ikrar Metana Global - Utusan Malaysia

Malaysia tandatangani Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah serta Ikrar Metana Global

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Malaysia bersama 131 negara lain akan menandatangani  Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah (Glasgow Leaders’ Declaration on Forest and Land Use) dan Ikrar Metana Global (Global Methane Pledge) bagi menunjukkan komitmen dan usaha progresif negara untuk melaksanakan tindakan perubahan iklim yang akan menyumbang kepada matlamat global. 

Deklarasi  ini adalah selaras dengan komitmen negara untuk terus mengekalkan sekurang- kurangnya 50 peratus daripada keluasan tanah negara sebagai hutan dan litupan pokok.

Kementerian Alam Sekitar dan Air berkata, Jemaah Menteri pada 3 November lalu bersetuju supaya Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, mengetuai delegasi Malaysia bagi menghadiri sesi rundingan Segmen Peringkat Tinggi di Persidangan Ke-26 Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC COP-26) pada 9 hingga 10 November 2021.

Menurutnya, selaku ketua delegasi Tuan Ibrahim juga akan menyampaikan kenyataan negara pada sesi rundingan berkenaan.

“Jemaah Menteri juga telah bersetuju supaya Malaysia menandatangani Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah dan Ikrar Metana Global bagi menunjukkan komitmen dan usaha progresif negara untuk melaksanakan tindakan perubahan iklim yang akan menyumbang kepada matlamat global.

“Kedua-dua ikrar dan deklarasi ini telah dilancarkan di UNFCCC COP-26 yang kini sedang berlangsung di Glasgow, Scotland bermula pada 31 Oktober hingga 12 November 2021,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambahnya lagi, Deklarasi Pemimpin mengenai Hutan dan Guna Tanah bertujuan memperkukuhkan komitmen negara-negara terhadap penggunaan tanah, pemuliharaan dan pengurusan hutan serta ekosistem yang lain secara mampan.

Katanya, Malaysia juga akan menyertai 103 negara lain dalam ikrar berkenaan bagi mendapatkan komitmen dan persetujuan bersama untuk mengurangkan pelepasan metana global sekurang-kurangnya sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2030 berbanding tahapnya pada tahun 2020.

“Negara-negara yang menandatangani ikrar ini akan beralih kepada penggunaan metodologi inventori terbaik untuk mengukur pelepasan metana, dengan memberi tumpuan kepada sumber utama pelepasan metana. 

“Pelepasan gas metana menyumbang sebanyak 17 peratus daripada jumlah pelepasan gas rumah kaca (316.83 juta tan karbon dioksida setara) pada tahun 2016,” ujarnya.

Pada masa sama, Kementerian Alam Sekitar dan Air memaklumkan akan terus bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan pelaksanaan tindakan yang inklusif dan holistik.

“Kerjasama akan terus dibuat khususnya Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta kerajaan negeri.

“Malaysia sentiasa komited untuk bersama-sama dengan negara-negara ahli kepada Perjanjian Paris dalam usaha mengekalkan purata peningkatan suhu global abad ini supaya tidak melebihi 2 darjah Celcius, meneruskan tindakan mitigasi untuk menghadkan suhu supaya tidak melebihi 1.5 darjah Celcius serta mengurangkan kerentanan terhadap kesan perubahan iklim,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya