ALOR SETAR: Seorang lelaki ditemukan lemas selepas terjatuh dalam sungai ekoran cemas melihat rumah jirannya terbakar di Kampung Betut, Jalan Putra di sini pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 5 pagi itu, Mohamad Nazri Mohamad Saad, 48, yang mempunyai sejarah pesakit sawan tidak sempat diselamatkan selepas terjatuh ke dalam sungai tersebut.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran pada pukul 5.32 pagi.
Jelas beliau, setibanya di lokasi, ada satu kebakaran rumah dua tingkat namun tiada mangsa di dalam rumah berkenaan.
“Namun hasil maklumat mendapati ada seorang lelaki jatuh ke dalam sungai berdekatan berkemungkinan cemas ketika melihat kebakaran. Mangsa kemudian ditemukan dalam sungai tersebut tetapi disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, kebakaran tersebut telah mengakibatkan rumah musnah keseluruhan selain lima buah kereta dan dua motosikal hangus dalam kejadian itu.
Tambahnya, punca kebakaran dan nilai kerugian pula masih dalam siasatan.
Sementara itu katanya, mangsa lemas tersebut telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.