Sentuhan tradisional kini diberi nafas baharu apabila corak batik dan seni lukis diterjemah pada permukaan jubin, sekali gus menjadikannya elemen dekorasi yang unik dan bernilai tinggi.
Ekspresi seni yang jarang diketengahkan ini dibawa khas oleh Feruni , antara pelopor industri jubin di negara ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk C.C. Ngei, pelancaran seni bertemakan The Transformative Power of Art turut melibatkan artis tempatan dengan mempamerkan reka bentuk baharu menerusi rangkaian koleksi jubin yang memukau.
“Kita mahu mengetengahkan seni yang bukan sekadar estetik, tetapi sebuah kuasa yang menghubungkan, mengekspresi dan mengubah yang boleh dihayati setiap hari.
“Paling penting ia secara tidak langsung membentuk budaya, memberi impak kepada masyarakat dan mempengaruhi cara kita membentuk satu-satu ruang itu agar lebih hidup,” katanya.
Ngei berkata, koleksi baharu ini mengangkat falsafah The Art and The Artist yang meraikan gabungan kreativiti dan pertukangan halus.
Dalam pada itu, pengasas Novak Batik, Farah Mohan berkata, hasil seninya itu menggabungkan keindahan tekstil warisan Malaysia dengan kanvas moden jubin.
Katanya, koleksi bertemakan Tutur Alam menghidupkan semula jiwa batik tradisional dengan sentuhan kontemporari.
“Karya ini diilhamkan daripada lagu rakyat Melayu ‘bangau oh bangau’ dan berpusat pada karya naratif yang disokong oleh tiga reka bentuk modular.
“Setiap rekaan mengalunkan ritma lagu tersebut melalui bentuk abstrak yang mencerminkan alam, kenangan dan emosi. Seni mengubah tetapi tradisi mengakar dan saya percaya batik mengandungi kedua-duanya,” katanya.
Menurut Farah, Feruni membuktikan batik tidak semestinya kekal di atas kain sebaliknya boleh menghiasi dinding, lantai dan ruang yang kita lalui setiap hari.
Dalam pada itu, studio kreatif terkenal, Loka Made pula tampil dengan koleksi Mosaic of Harmony.
Koleksi mural ini mengabadikan semangat Malaysia melalui ilustrasi penuh butiran yang menggambarkan keharmonian budaya, detik harian dan identiti bersama.
Karya mural berukuran 2.4m x 6m ini, dihasilkan oleh Studio Feruni menggunakan teknik ukiran tangan rumit yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Mural Ukiran Jubin Terbesar di Malaysia semasa majlis pelancaran.









