SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor menegaskan tidak menerima cadangan pembinaan Projek Lebuhraya Sungai Klang (SKE), sebaliknya yang diluluskan secara dasar sahaja adalah Lebuhraya Sungai Klang Link (SKL).
Bagaimanapun, kelulusan dasar yang diberikan oleh kerajaan negeri hanyalah persetujuan kepada pelaksanaannya sementara kelulusan penuh diberikan oleh Kerajaan Persekutuan selepas melalui pelbagai proses penilaian impak sosial, trafik serta alam sekitar.
Perkara itu ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian negeri, Izham Hashim yang menyifatkan satu video tular berkenaan projek itu dalam media sosial boleh mengelirukan masyarakat dan pihak berkepentingan.
Menurutnya, penyebaran video tersebut dikhuatiri memberi kesan terhadap senarai enam projek lebuh raya di Selangor yang masih dalam peringkat kelulusan dasar.
“Yang itu ada, tetapi projek ini kita telah luluskan secara dasar pelaksanaannya daripada 27 Januari 2021. Projek dimaksudkan adalah Lebuhraya Sungai Klang Link atau SKL bukan SKE. Yang ini memang ada kelulusan oleh kerajaan negeri, kelulusan dasar.
“Kelulusan akhirnya perlu datang daripada Kerajaan Pusat dan bukan di bawah tanggungjawab kerajaan negeri untuk meluluskan. Kerajaan negeri hanya memudah cara pelaksanaan projek lebuh raya ini selepas mendapat kelulusan Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Beliau menambah, sebarang projek penswastaan lebuh raya Selangor kebiasaannya dicadangkan melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia yang dibuat kepada Unit Perancang Ekonomi Negara (UPEN) sebelum dibawa kepada Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Projek Lebuh Raya di Selangor.
Jelasnya, selepas mendapat kelulusan daripada Kerajaan Persekutuan projek tersebut perlu melalui Penilaian Impak Alam Sekeliling (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Penilaian Impak Trafik (TIA).
“Itu yang kita hendak dan dia kena buat permohonan kebenaran merancang kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mana jajaran dia lalui untuk kita dapat ulasan terutama jajaran itu sendiri kalau lalu kawasan sungai, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu beri ulasan laluan sama ada akan menyebabkan pencemaran atau tidak.
“Jadi semua agensi akan memberi ulasan mereka dalam kebenaran merancang daripada PBT. Lagi satu, kita hendak juga isu tanah diselesaikan, kalau ada melibatkan perolehan dan pengambilan tanah untuk Selangor kita sudah putuskan sebelum ini untuk lebuh raya dan infrastruktur baharu, sebelum pembinaan kita hendak isu tanah diselesaikan,” tegasnya.
Terdahulu, tular sebuah video mengenai pembinaan projek Lebuhraya SKE sepanjang 41.2 kilometer menghubungkan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) ke Jalan Istana, Kuala Lumpur.
Malah dalam video itu turut memaparkan ahli lembaga pengarah syarikat konsesi, temu bual orang awam serta logo-logo PBT seperti Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBSJ) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Bagaimanapun, Izham yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah menjelaskan, beliau akan mendapatkan nasihat daripada Penasihat Undang-Undang Selangor sekiranya terdapat keperluan tindakan lanjut diambil.
“Jadi, tidak tahu kenapa mereka gunakan logo-logo itu. Kebimbangan di luar sana bahawa projek ini sudah mendapat kelulusan kerajaan negeri dan PBT, merupakan satu misleading bagi saya yang boleh mengelirukan kepentingan awam dan masyarakat.
“Pihak SKL ada bertanya kepada saya kata ini, saya pun baru tahu. Dia sendiri pun tidak tahu isu ini. Tetapi mereka sedang dalam perancangan untuk mengambil tindakan selanjutnya sebab ini agak mengelirukan. Tetapi video itu sangat mirip sangat dengan projek yang dicadangkan,” katanya.