Lebih 82 peratus kenderaan PDRM uzur akan ditukar - Utusan Malaysia

Lebih 82 peratus kenderaan PDRM uzur akan ditukar

MAZLAN Lazim (kanan) melakukan lawatan kerja dan menyerahkan 25 buah kenderaan pasukan iaitu 16 buah jenis Toyota Hilux GS Cargo dan sembilan buah Van Go Auto Higer Ace kepada IPK Negeri Sembilan, Seremban. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Lebih 82 peratus kenderaan di bawah seliaan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan didapati uzur dan melebihi had usia akan ditukar dari semasa ke semasa.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, namun dalam melaksanakan tanggungjawab pihak PDRM tetap menjaga kenderaan itu dengan baik selain melakukan penyelenggaraan dan servis mengikut tempoh masa ditetapkan.

“Kenderaan itu masih dapat digunakan walaupun telah melebihi had usia, kami akan tukar kenderaan secara berperingkat mengikut kemampuan dan bajet kerajaan.

“Dalam mengurus aset tersebut, terdapat kekangan dan halangan di luar kawalan yang terpaksa dihadapi antaranya aspek pengurusan kenderaan pasukan yang mana hampir 82 peratus kenderaan telah melebihi had usia penggunaan yang ekonomik,” katanya dalam sidang akhbar di Sekolah Latihan Kontinjen, IPK Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau sebelum itu melakukan lawatan kerja dan menyerahkan 25 buah kenderaan pasukan iaitu 16 buah jenis Toyota Hilux GS Cargo dan sembilan buah Van Go Auto Higer Ace.

Menurut Mazlan, pengurusan aset kenderaan yang sudah berusia dan uzur bukanlah perkara yang mudah, malah kebanyakan tempoh penggunaannya telah melebihi 15 hingga 20 tahun.

Dalam pada itu, mengulas mengenai penyerahan kenderaan PDRM, Mazlan memberitahu, sebanyak 240 kenderaan jenis Toyota Hilux GS Cargo dan Van Go Auto Higer Ace diserahkan ke seluruh kontinjen termasuk Sabah dan Sarawak.

“Di Negeri Sembilan, 25 buah kenderaan diserahkan kepada pihak kontinjen untuk melaksanakan tugas-tugas kepolisian di negeri ini.

“Van Go Auto Higer Ace yang diterima sebanyak sembilan buah adalah sebagai penggantian bagi kenderaan jenis van yang telah dilupuskan dan akan digunakan untuk membawa penumpang bagi tugas operasi dan lain-lain penugasan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop melahirkan penghargaan dan terima kasih kepada pucuk pimpinan tertinggi PDRM kerana sentiasa peka dan sedar akan keperluan dan masalah dari segi logistik di IPK Negeri Sembilan ini.

“Kami berharap agar usaha-usaha penambahbaikan yang sedang dilaksanakan akan diteruskan malah dipertingkatkan lagi bagi memenuhi harapan masyarakat terhadap PDRM.

“Masyarakat sentiasa mahukan perkhidmatan yang berkualiti, cepat dan tepat. Sebagai warga PDRM, kami perlu merancang dengan lebih rapi dan teliti dalam usaha untuk menyediakan perkhidmatan yang menjangkau harapan serta kehendak masyarakat, secara efektif dan berkesan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN