Lebih 10 tahun sambut Deepavali dengan baju terpakai - Utusan Malaysia

Lebih 10 tahun sambut Deepavali dengan baju terpakai

P. SASHITHARAN (kanan) bergambar bersama anak yatim penghuni rumah kebajikan, Persatuan Kebajikan Rakan Lutheran di Taman Sentosa, Klang, Selangor hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Lebih 10 tahun pakai baju terpakai ketika sambutan Hari Deepavali.

Itulah pengalaman sambutan perayaan oleh anak-anak yatim penghuni rumah Persatuan Kebajikan Rakan Lutheran Selangor (PKRLS) yang memberitahu belum pernah memakai pakaian baharu untuk meraikan perayaan masyarakat Hindu.

Bagaimanapun, pengalaman itu berakhir apabila mereka menerima sumbangan daripada Majlis Belia India Malaysia (MIYC) yang diadakan dalam satu majlis semalam.

Menurut Pengerusi PKRLS, P. Easupillay, beliau bersyukur riak wajah gembira penghuni rumah kebajikannya yang akhirnya berpeluang menyambut Deepavali pada tahun ini dengan pakaian baharu.

“Sebelum ini kanak-kanak di sini hanya memakai baju raya terpakai sumbangan orang ramai. Syukur kerana tahun ini sambutan menjadi lebih meriah.

“Tahun ini selepas PKP yang penuh cabaran kita boleh menyambut Deepavali. Setelah dua tahun tiada sambutan kita dapat beraya semula dengan pakaian baharu dan cantik,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Pakaian Deepavali Majlis Belia India Malaysia (MIYC) Selangor di Taman Sentosa hari ini yang dihadiri  Timbalan Pengerusi MIYC Selangor, M.Sivabalan dan Setiausaha Kehormat MIYC, P.Sashitharan dan Pengerusi 99 Kesan, Muhd.Ali Zakariah.

Beliau menambah, sebagai penjaga kira-kira lebih 20 orang anak yatim tersebut beliau amat menghargai sumbangan sedemikian lebih-lebih lagi ketika mengenang nasib mereka yang akan sambut Deepavali pada Khamis ini.

Sementara itu menurut Sashitharan, sumbangan itu tidak terhenti di situ sahaja, bahkan terdapat pelbagai bantuan lain akan disalurkan termasuk barangan makanan supaya kanak-kanak kurang bernasib baik itu dapat menyambut Deepavali.

“Dua tahun kita tidak menyambut Deepavali semoga sumbangan ini dapat memberi kegembiraan kepada anak-anak ini. Kita juga memberi bantuan makanan sebagai juadah pada hari Deepavali nanti,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN