Lapar, cemas feri terkandas empat jam - Utusan Malaysia

Lapar, cemas feri terkandas empat jam

KiRA-KIRA 312 penumpang feri dari Kuah, Langkawi ke Kuala Perlis terkandas kira-kira dua jam selepas kipas feri berkenaan tersangkut tali pukat nelayan di perairan Kuala Perlis malam tadi.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Terpaksa menahan lapar, cemas antara situasi terpaksa dihadapi para penumpang selepas feri yang dinaiki mereka dari Langkawi, Kedah terkandas selama empat jam selepas kipas enjinnya tersangkut pukat nelayan di perairan Kuala Perlis di sini, semalam. 

Feri berkenaan yang membawa seramai 312 penumpang berlepas dari terminal feri Kuah, Langkawi pada pukul 8 malam dan sepatutnya tiba di terminal feri Kuala Perlis sejam kemudian.

Ekoran itu, feri berkenaan terpaksa ditunda dengan bantuan bot nelayan dan tiba di terminal feri Kuala Perlis kira-kira pukul 12.30 pagi.

 

Seorang penumpang, Norshariza Aziz, 37, berkata, dia bersama beberapa ahli keluarganya ingin pulang semula ke Kedah selepas bercuti di pulau peranginan tersebut.

Katanya, feri itu dijadualkan belayar kira-kira pukul 8 malam namun tidak lama selepas feri berkenaan meninggalkan Pulau Langkawi, dia dapat merasakan enjin feri tiba-tiba terhenti.

“Mula-mula kami berasakan enjin mati, selepas itu semua penumpang bangun, saya ingat sudah sampai ke Kuala Perlis namun agak pelik kerana kami baru sahaja meninggalkan Langkawi.

“Selepas lama menunggu dan menyedari sudah lewat dari jadual sepatutnya kami tiba, suami memberitahu mungkin feri tersangkut pukat tunda,” katanya ketika ditemui di Terminal Feri Kuala Perlis di sini malam tadi.

Tambahnya, dia beberapa kali terbangun dari tidur dan feri masih tidak bergerak serta terpaksa menahan lapar kerana tidak makan apa-apa sebelum berlepas.

Sementara itu, seorang lagi penumpang, Mohd. Farhan Ismail, 34, yang pulang ke Kuala Perlis selepas pulang bermain golf di Langkawi berkata, sewaktu kejadian berlaku, kawasan daratan di Kuala Perlis telah pun kelihatan.

Katanya, enjin tiba-tiba terhenti dan dia bersama bersama rakan-rakannya tertanya-tanya apa yang berlaku sebenarnya sebelum mendapat tahu propeller atau kipas feri tersangkut pada pukat nelayan.

“Kami merasakan ada sedikit kesan gegaran kecil mungkin ketika propeller tersangkut namun Alhamdulillah tidak ada-apa yang buruk berlaku dan semua penumpang selamat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Shafie Paing berkata, pihaknya menerima laporan awal feri tersangkut pada jaring nelayan di laluan masuk Kuala Perlis kira-kira tiga hingga lima batu nautika dari Kuala Perlis sebelum sebelum anggota bertugas bergegas ke lokasi kejadian.

“Laporan diterima mengatakan propeller atau kipas feri tersangkut pada jaring nelayan dan kita tidak menolak kemungkinan jaring berkenaan dihanyutkan air. Kita turut bertindak memastikan keselamatan penumpang dan laluan feri yang ditunda bot nelayan dalam keadaan selamat,”katanya.

Tambahnya, pergerakan feri terakhir sepatutnya dianggarkan masuk ke jeti Kuala Perlis dalam pukul 8.30 malam dan jarang berlaku pergerakan feri pada waktu malam kerana ia bergantung kepada keadaan pasang surut air. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya