ARAU : Golongan berisiko tinggi menghidap kencing manis disaran membuat saringan pada setiap tahun walaupun tidak bergejala.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, saringan berkenaan penting supaya penyakit tersebut dapat dikesan dan dirawat dengan lebih awal.
“Tindakan itu sekali gus dapat mengelakkan berlakunya perkara yang lebih buruk,” titah baginda selepas berkenan berangkat menghadiri sesi ceramah sempena hari diabetes sedunia peringkat negeri ini di Masjid Al Islah, Ngulang di sini hari ini.
Sesi bersempena Program Hijrah Minda MAIPs bilangan ke-33 2021 itu dianjurkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Jabatan Kesihatan negeri.
Hadir sama mengiringi baginda, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri, Muhammad Hafeez Abu Seman.
Tuanku Syed Faizuddin turut berkenan menyempurnakan penyerahan bantuan zakat MAIPs kepada 28 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid tersebut yang masing-masing menerima RM400.
Terdahulu, pegawai perubatan Klinik Kesihatan Kampung Gial, Dr. Muhammad Ihsan Zakaria dalam ceramah tersebut menggesa golongan berisiko tinggi dan bergejala seperti kerap membuang air kecil, dahaga, lapar dan sentiasa berasa lesu agar segera membuat saringan awal di hospital ataupun klinik berdekatan.
“Kencing manis atau diabetes tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia boleh membawa kepada komplikasi yang lebih teruk dan melibatkan banyak organ-organ dalaman yang lain seperti mata, otak dan juga jantung.
“Ini bergantung kepada jangka masa seseorang menghidap penyakit tersebut dan kawalan paras glukos dalam darah.
“Walaupun kencing manis ialah penyakit kronik dan kebiasaannya pesakit sukar untuk sembuh sepenuhnya, namun ia boleh dikawal.
“Sehubungan itu, adalah sangat penting bagi semua golongan berisiko tinggi agar membuat saringan berkala supaya penyakit tersebut dapat dikesan di peringkat awal lagi,” katanya. -UTUSAN ONLINE










