Kumpulan samun bersenjata larikan kereta mewah tumpas - Utusan Malaysia

Kumpulan samun bersenjata larikan kereta mewah tumpas

RAHIMI Mohd. Ra’ais dalam sidang akhbar penahanan anggota sindiket samun bersenjata yang melarikan kenderaan mewah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini. - UTUSAN/MUHAMMAD IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Polis menumpaskan kumpulan samun bersenjata yang melarikan kereta mewah di negeri ini berikutan penahanan empat suspek dalam beberapa siri serbuan bermula 21 Oktober hingga 11 November lalu, di Kedah dan Perak.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais berkata, menerusi hasil risikan dan maklumat awam, keempat-empat suspek berusia 22 hingga 26 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Kulim dan Sungai Petani, Kedah serta Teluk Intan, Perak.

Katanya, keempat-empat mereka disyaki terlibat melarikan dua kereta Mercedes Benz yang berada di pusat servis kereta di Jalan Pengkalan Bukit Tengah, Seberang Perai pada 21 Oktober lalu dengan menggunakan parang.

“Dua kereta Mercedes Benz yang dilarikan mereka sebelum ini juga berjaya ditemukan semula di Serdang, Kuala Lumpur dan di Teluk Intan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Menurut Rahimi, hasil saringan air kencing ke atas empat suspek mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, keempat-empat suspek juga didapati mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan (kesalahan melakukan samun) dan Seksyen 379a Kanun Keseksaan (kesalahan mencuri kenderaan),” katanya.

Selain itu tambahnya, polis Perak turut membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (kesalahan cubaan membunuh) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda.

“Ini kerana salah seorang yang ditangkap dalam kes ini telah melanggar sebuah kereta pasukan yang dipandu oleh polis ketika cubaan melarikan diri daripada ditangkap di Teluk Intan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rahimi berkata, polis menahan sepasang kekasih pada 3 November lalu kerana dipercayai terlibat dalam pelbagai kes jenayah termasuk pembunuhan seorang lelaki di Flat Sungai Pinang di sini pada tahun 2019 lalu.

Rahimi berkata, suspek pertama iaitu lelaki berusia 35 tahun ditahan di tepi jalan di Jelutong di sini pukul 10.30 pagi dan yang mana sepucuk pistol jenis Beretta Brigadier bersama kelopak dan 11 butir peluru bersaiz 9 milimeter (mm) turut dirampas.

“Susulan penahanan suspek pertama, polis menahan seorang wanita berusia 30 tahun yang merupakan teman wanita kepada suspek pertama di sebuah kondominium di Jalan Fettes,” katanya.

Tambahnya, hasil siasatan lanjut berdasarkan senjata api yang dirampas, polis percaya kedua-dua tangkapan itu mempunyai kaitan dengan kes bunuh seorang lelaki yang maut di tembak di Sungai Pinang, dua tahun lalu.

“Kedua-dua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api tanpa permit sah dan kes juga disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki peluru hidup tanpa permit yang sah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN