SHAH ALAM: Satu kes positif Covid-19 dilaporkan dikesan di pintu masuk antarabangsa di Tambak, Johor Bahru ketika hari pertama pelaksanaan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) darat yang menghubungkan Johor-Singapura, hari ini.
Kes berkenaan dilaporkan dikesan pagi tadi melibatkan seorang individu dikenal pasti positif virus berkenaan melalui antigen kit ujian pantas (RTK-Antigen) ketika tiba di negara ini dari Singapura.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu bakar yang memberitahu kes tersebut adalah yang pertama, namun tidak membimbangkan orang awam kerana laporan itu sudah dijangka susulan langkah-langkah pencegahan awal diambil.
Menurutnya, walaupun dikesan positif melalui RTK-Antigen, ujian pantas Tindak balas Berangkai Polimerase (PCR) akan dilakukan terhadap individu berkenaan bagi mengesahkan dia benar-benar dijangkiti Covid-19.
“Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Johor Bahru sedang melaksanakan penilaian risiko terhadap penumpang bas yang bersama dengan individu yang telah dikesan positif sama ada mereka perlu menjalani kuarantin dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Apresiasi Penghargaanm Barisan Hadapan Covid-19 Kementerian Kesihatan di Institut Kesihatan Negara (NIH) di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr. Hishamshah Mohd. Ibrahim; Ketua Setiausaha; Datuk Mohd. Shafiq Abdullah; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan, Dr. Tahir Aris.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Seramai 46 pengembara bagi kumpulan pertama tiba di Larkin Sentral, di sini dari Singapura melalui VTL darat menaiki bas TranStar pada pukul 9.10 pagi tadi.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadual merasmikan pembukaan semula sempadan Malaysia-Singapura melalui pelaksanaan VTLdarat, Isnin ini.
Khairy Jamaluddin mengulas lanjut, walaupun terdapat satu kes dilaporkan pada hari pertama, namun langkah pelaksanaan VTL ini tidak dilihat gagal.
Malah, menurutnya perbincangan pelaksanaan VTL dengan negara jiran lain seperti Indonesia, Brunei dan Thailand masih berjalan termasuklah isu kemunculan varian baharu yang dikategorikan sebagai Variant of Concern (VOC), Omicron.
“Walaupun ada satu kes, saya tidak menganggap ini sebagai sesuatu yang boleh menggagalkan VTL, sebaliknya ini adalah contoh bagaimana pra pelepasan dan ujian semasa ketibaan adalah langkah-langkah pencegahan yang perlu diadakan, bukan bermaksud kita batalkan VTL disebabkan ada satu kes.
“Kita kena belajar daripada itu, memahami memang akan ada kes positif, tetapi yang penting adalah dari segi kebolehan dan keperluan diagnostik dan juga penilaian risiko yang dibuat oleh PKD apabila kes seperti ini berlaku apa langkah seterusnya,” jelasnya.
Bagaimanapun maklum Khairy Jamaluddin lagi, laporan lanjut mengenai status terkini VTL akan diberitahu pada petang.- UTUSAN ONLINE