Kerja fizikal kolam udang didakwa berlaku pencerobohan dihentikan sementara - Utusan Malaysia

Kerja fizikal kolam udang didakwa berlaku pencerobohan dihentikan sementara

SAARANI Mohamad berucap pada sesi 'townhall' bersama penjawat awam dan warga keselamatan di Dewan Millenium Lubok Merbau di Padang Rengas hari ini. - UTUSAN/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG RENGAS: Tiada sebarang kerja fizikal dijalankan di kawasan projek kolam ternakan udang di pesisir pantai di Kampung Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang yang didakwa berlaku pencerobohan.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, kerja-kerja pembinaan di kawasan itu telah dihentikan sementara selepas didapati berlaku pelanggaran syarat kebenaran merancang oleh pengusaha.

Katanya, notis pemberhentian kerja-kerja itu telah dikeluarkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah serta Majlis Daerah Kerian.

“Setiap pengusaha (pemaju) tertakluk kepada kebenaran merancang daripada Pejabat Tanah dan Daerah dan tindakan boleh diambil jika mereka ingkar dan menyalahi peraturan ditetapkan.

“Jadi dalam hal ini pengusaha dikatakan telah melanggar beberapa syarat. Arahan telah dikeluarkan suruh berhenti dulu bermakna tiada kerja-kerja fizikal dijalankan di situ,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri sesi townhall bersama penjawat awam dan warga keselamatan di Dewan Millenium Lubok Merbau di sini hari ini.

Tanah seluas 80 hektar milik Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) itu telah dipajakkan kepada pemaju bagi pelaksanaan projek kolam ternakan udang.

Bagaimanapun, timbul dakwaan berlaku pencerobohan sungai untuk pembinaan jalan masuk dan jambatan ke tapak projek akuakultur itu.

Terdahulu, Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dalam kenyataannya mendakwa, pencerobohan itu telah menyekat laluan nelayan pantai untuk mencari hasil laut sebagai sumber pendapatan harian mereka.

“Saya telah beberapa kali turun padang mendengar aduan penduduk sekitar supaya Menteri Besar mengambil kira implikasi kelulusan projek ini.

“Menteri Besar perlu jelaskan apakah projek ini tetap diluluskan sedangkan saya mendapati notis pemberhentian kerja-kerja laluan jalan telah dikeluarkan kepada pemaju,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN