fbpx

Kerajaan sedia dana pinjaman RM200 juta, tambah RM62 juta insentif padi

ISMAIL Sabri Yaakob menyampaikan Anugerah Yayasan Pelajaran Peladang Tahun 2020 kepada Noor Aini Naili Noor Habib, sambil diperhatikan oleh Ronald Kiandee (kanan) dan Zamri Yaakob (kiri) pada Majlis Makan dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan NAFAS ke-47, di Pusat Dagangan Dunia, di sini hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju menyediakan dana sebanyak RM200 juta sebagai pinjaman agromakanan pada kadar faedah sifar peratus di samping moratorium bayaran balik pinjaman selama enam bulan di bawah Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) dan Agrobank bagi manfaat pengusaha tanaman sayur-sayuran serta buah-buahan yang terkesan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan juga akan menambah peruntukan tambahan sebanyak RM62 juta melalui Pertubuhan Peladang Nasional (NAFAS) bagi subsidi dan insentif padi di bawah Bajet 2022 yang berjumlah keseluruhan RM1.5 bilion.

Katanya, beliau dalam masa yang sama mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan; Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk merangka langkah-langkah mitigasi untuk menangani isu kenaikan harga baja dan racun bagi tanaman sayur-sayuran, buah-buahan serta tanaman padi.

“Bantuan tersebut diberikan sebagai respons awal bagi membantu pesawah yang terjejas ekoran isu ini. Saya telah menghubungi Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz memaklumkan subsidi yang kita beri untuk harga baja dan racun masih tidak mencukupi kerana saya difahamkan NAFAS akan mengalami kerugian sebanyak RM200 juta.

” Justeru, saya telah maklumkan kepada Tengku Datuk Seri Zafrul bahawa kita perlu bantu NAFAS. Apabila kita bantu NAFAS, maka secara langsung kita membantu golongan peladang, petani, dan penternak,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan NAFAS Ke-47 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.

Yang turut hadir Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr.Ronald Kiandee; Timbalan Menteri 1, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Timbalan Menteri 2, Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh serta Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Zamri Yaakob.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan meneruskan pemberian subsidi dan insentif berasaskan ‘input’ dan ‘output’ di mana kontrak membekal dan menghantar input pertanian diberikan kepada NAFAS selaku badan induk pergerakan Pertubuhan Peladang yang dinaungi 920,000 ahli di seluruh negara.

Menurutnya, ia dilaksanakan di bawah Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) bagi tempoh 1 Julai 2021 sehingga 31 Disember 2023 bernilai RM1.82 bilion.

POPULAR

KOSMO! TERKINI