Kenakan faedah lebih tinggi, premis pajak gadai tidak berlesen diserbu - Utusan Malaysia

Kenakan faedah lebih tinggi, premis pajak gadai tidak berlesen diserbu

MOHD. Fauzi Hassan (tiga kanan) menunjukkan sebahagian barang rampasan hasil serbuan empat premis pajak gadai tidak berlesen di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Seramai 11 individu ditahan dalam serbuan terhadap empat premis pajak gadai tidak berlesen termasuk satu di Masai, Johor dan tiga di Lembah Klang, Oktober lalu.

Mereka ditahan dalam serbuat dibuat Cawangan Siasatan dan Pemantauan, Bahagian Kawalan Kredit Komuniti di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan selepas risikan, maklumat dan aduan diterima daripada orang awam.

Ketua Cawangan Siasatan dan Pemantauan (Bahagian Kawalan Kredit Komuniti), Asisten Komisioner Mohd. Fauzi Hassan berkata, hasil serbuan berkenaan, pihak berkuasa merampas pelbagai jenis barang kemas termasuk gelang, subang, rantai dan cincin dianggarkan bernilai RM99,855 dan wang tunai berjumlah RM13,437.

Mohd. Fauzi berkata, pihaknya juga merampas mempelbagai peralatan termasuk alat penimbang emas, cecair asid penguji ketulenan emas, komputer riba dan surat menyerupai resit pajak gadai.

“Kita sudah membuka empat kertas siasatan mengikut Seksyen 7(2) Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 (Akta 81) kerana menjalankan perniagaan pemegang pajak gadai tanpa lesen yang sah. Siasatan lanjut sedang dijalankan dan apabila kertas siasatan lengkap kita akan serahkannya ke bahagian undang-undang untuk tindakan pendakwaan di Mahkamah di Petaling Jaya dan Johor Bahru, dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Difahamkan, tiga daripada empat suspek terbabit akan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor, manakala seorang lagi akan dituduh di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor.

Mengulas lanjut, Mohd. Fauzi berkata, siasatan juga mendapati kedai pajak gadai haram berkenaan mengenakan kadar faedah lebih tinggi berbanding premis berlesen iaitu antara 3 hingga 5 peratus sebulan iaitu melebihi apa yang ditetapkan mengikut Akta 81 iaitu hanya 2 peratus sebulan.

Menurutnya, semua pajak gadai tanpa lesen berkenaan menggunakan modus operandi hampir sama, iaitu barang yang dipajak tidak disimpan di dalam premis terbabit.

Beliau berkata, mereka juga sering menggunakan iklan yang berbunyi ‘Kami sedia membayar harga gadaian emas dengan kadar lebih tinggi daripada harga pasaran’ untuk menarik orang ramai menggadaikan barangan kemas di kedai pajak gadai haram terbabit.

“Ini melanggar Seksyen 16(2) Akta Pemegang Pajak Gadai 1972 kerana setiap barang yang dipajak di premis terbabit, perlu disimpan di premis berkenaan. Selain itu, pemajak yang ingin menebus barangan mereka perlu menghubungi premis sehari sebelum hadir ke premis terbabit. Jika di premis pajak yang berlesen, tiada amalan seperti itu (menghubungi sebelum hadir) untuk mengambil kembali barang pajak berkenaan, malah pemajak tidak diberi surat pajak gadai bagi mengelak aktiviti mereka dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya