Kegiatan judi di sebalik kedai runcit, kedai ubat - Utusan Malaysia

Kegiatan judi di sebalik kedai runcit, kedai ubat

OSMAN Mamat (tengah) ketika operasi memotong bekalan elektrik di premis yang terlibat kegiatan perjudian di Taiping. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Bekalan elektrik di enam premis perniagaan di sekitar Taiping dipotong kerana disyaki melakukan kegiatan perjudian.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, tindakan itu dilakukan dalam operasi khas bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang melakukan pemotongan bekalan elektrik ke atas premis terlibat.

“Hasil aduan awam dan risikan, polis mengenal pasti enam premis di kawasan Kamunting, Aulong dan Kuala Sepetang menjalankan aktiviti perjudian.

“Kegiatan ini berselindung di sebalik perniagaan seperti kedai runcit, pasar mini dan kedai ubat,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas operasi pemotongan bekalan elektrik di premis yang dijalankan bersama TNB di Jalan Medan Saujana 1, Medan Saujana Kamunting di sini hari ini.

Menurut Osman, sejak Januari lalu, polis melakukan 210 serbuan berkaitan perjudian di Taiping dan 249 tangkapan dilakukan.

Katanya, polis turut membuat permohonan kepada Majlis Perbandaran Taiping (MPT) untuk membatalkan 15 lesen perniagaan di premis yang terlibat.

“Setakat ini sebanyak 10 buah premis yang disyaki menjalankan kegiatan perjudian telah dibatalkan lesennya manakala lima premis lagi beroperasi tanpa lesen,” katanya.

Menurutnya, semua premis yang dipotong bekalan elektrik, boleh menyambung semula bekalan elektrik dengan memohon kepada pihak polis.

“Namun pemilik premis dikenakan syarat tertentu termasuk tidak lagi mengulangi kegiatan perjudian,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN