Kecaman? Ahli politik dan pendakwah pun kena - Nora Danish - Utusan Malaysia

Kecaman? Ahli politik dan pendakwah pun kena – Nora Danish

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon jelita, Nora Danish, 39, berpandangan,artis dan selebriti bukanlah satu-satunya golongan figura awam yang mudah terdedah kepada kecaman dan kritikan orang ramai termasuk netizen di media sosial.

Kata isteri kepada Mohamad Nedim Nazri ini, jika soal kecaman itu sering dilihat terkena pada golongan pemain industri seni sahaja, itu adalah tidak benar.

“Kalau cakap pasal kecaman dan kritikan ini, saya akui, sudah imun dan seakan kebal. Jadi saya sudah terbiasa dengan situasi begini.

“Kecaman demi kecaman itu sudah lumrah kehidupan manusia. Hal seperti ini, boleh terjadi bukan saja kepada artis, tetapi juga kepada semua golongan termasuklah pendakwah dan ahli politik,” katanya.

Nora berkata demikian kepada Utusan Malaysia bagi mengulas mengenai kritikan yang diterimanya apabila sebuah jenama tudung tempatan, MINAZ, menjadikan dirinya sebagai wajah baharu bagi koleksi Blossom keluaran mereka.

Kecaman itu diterima Nora selepas dia dikatakan tidak sesuai dijadikan wajah jenama tudung itu kerana bukan seorang wanita berhijab selain sering dilihat selesa berpenampilan seksi secara realiti.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai perkara itu, Nora tidak melihat ia sebagai satu kesalahan untuknya menerima tawaran menggayakan produk tudung dan menganggap ia sebagai satu rezeki.

“Menjayakan kempen tudung itu atau tidak, saya percaya itulah yang dinamakan rezeki. Saya percaya, membuat sesuatu yang baik termasuk menjayakan jenama yang memerlukan pemakaian tudung ini tidak pernah ada salahnya.

“Mana tahu, mungkin suatu hari nanti, akan terbuka hati saya untuk ke arah itu (bertudung). Semua ini sama seperti kita mendoakan sesuatu yang diharapkan.

“Lagipun, ini juga bukan kali pertama saya ditawarkan tugasan mempromosikan jenama tudung,”katanya.

Dalam pada itu, kata Nora, istilah seksi juga sangat subjektif pada pandangan masing-masing.

“Seksi itu terletak atau bergantung kepada mata yang memandangnya. Kalau baik yang dilihatnya, maka baiklah jadinya. Kalau gatal pandangannya, maka gatallah.

“Apa yang penting, saya hanya ingin menjadi diri sendiri. Tetapi di kesempatan ini, saya nak ucap terima kasih juga kepada netizen yang memberi komen membina. Saya sayang anda semua.

“Insya-Allah, doa baik-baik. Bagi kelompok netizen yang tahu dan asyik nak kecam saja, hentikanlah. Perbuatan buli siber tidak baik sebenarnya,” katanya.

Nora mendirikan rumah tangga dengan Nedim pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Mohamed Neqayl Nedim yang kini berusia 3 tahun.

Menerusi perkahwinan pertamanya dengan Toh Muda Rizal Ashram Ramli, Nora dikurniakan cahaya mata bernama Putra Rayqal yang kini berusia 12 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN