PETALING JAYA: Polis sedang mengesan pemilik perakam video (dashcam) kejadian kanvas lori tercabut dan melayang ke arah penunggang serta pembonceng motosikal di belakangnya sehingga mereka hampir digilis treler.
Kejadian tular itu dipercayai berlaku di Kilometer (KM) 33.5 Jalan Puchong berhampiran susur menghala Kajang kira-kira pukul 8 pagi semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintenden Azman Shari’at berkata, setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada pemandu kenderaan dan mangsa terbabit.
Katanya, kanvas lori yang tercabut itu menyebabkan penglihatan individu berkenaan terhalang dan motosikal ditunggang mereka terlanggar sisi kanan treler di lorong kiri sebelum terjatuh.
“Identiti pemandu, mangsa dan nombor pendaftaran kenderaan berkaitan masih belum dipastikan lagi.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, tular video berdurasi 45 saat menunjukkan kanvas lori melayang sehingga menutup dua individu yang sedang menaiki motosikal.
Akibat itu, motosikal tersebut hilang kawalan dan terlanggar tayar treler bergerak laju.- UTUSAN ONLINE










