Johor sumbang 11.5 peratus kes penceraian di Malaysia - Utusan Malaysia

Johor sumbang 11.5 peratus kes penceraian di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor menyumbang kadar 11.5 peratus daripada jumlah keseluruhan 37,853 kes penceraian dalam kalangan pasangan suami isteri di seluruh negara, tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, jumlah penceraian 4,389 kes di Johor itu adalah berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Perangkaan.

Justeru, ujar beliau, Bahagian Undang-Undang Syariah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sentiasa bekerjasama menyusun dan menambah baik kaedah perlaksanaan serta modul yang disampaikan kepada para peserta kursus praperkahwinan. 

“Malah perubahan modul ditambah baik sehingga versi keempat sejak ia dilaksanakan. Bagi program keibubapaan pula, Bahagian Pembangunan Keluarga JAINJ  sentiasa menyusun program-program kekeluargaan untuk memastikan tindakan pencegahan penceraian dapat dilaksanakan dan institusi keluarga terpelihara.

“Antaranya Sesi Khidmat Nasihat: Setiap Daerah, Program Nur Sakinah bersama Johor FM, Sembang Santai Kekeluargaan: Facebook JAINJ, Program Pasca Perkahwinan (Syurga Cinta) : Setiap Daerah, KSK Care Center, Program Rumahku Syurgaku, Bicara Ilmu : Hikmah Disebalik Ujian dan Forum Kembali kepada Fitrah,” katannya

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14 di sini, hari ini.

Sementara itu, Tosrin berkata, bagi peruntukkan khusus bantuan nafkah kepada anak-anak mangsa penceraian pula, Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor menerima dana sebanyak RM300,000.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM200,000 diperuntukkan kerajaan Persekutuan, manakala RM100,000 lagi disediakan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ),” katanya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, Johor menjadi satu-satunya negeri yang membayar elaun kepada kedua-dua pegawai masjid dan surau berbanding negeri-negeri lain yang hanya membuat bayaran itu kepada petugas di masjid.

“Jumlah pegawai masjid dan surau di Johor yang menerima elaun daripada Jakim dan kerajaan negeri serta MAINJ adalah sekitar 6,844 orang. Pihak Jakim memperuntukkan kira-kira RM15.9 juta setahun untuk membayar 1,562 orang imam masjid.

“Sementara kerajaan negeri dan MAINJ pula membayar elaun untuk bilal masjid, noja masjid, imam surau dan bilal surau yang seramai 5,282 orang dengan jumlah peruntukan sebanyak RM4.5 juta setahun,” katanya.

Selain itu, bagi menghargai pegawai di masjid dan surau yang bertauliah tetapi tidak menerima elaun kerana kuota yang telah penuh, kerajaan negeri bersetuju memberi bantuan one-off RM500 kepada 1,050 pegawai kedua-dua rumah ibadat itu untuk menghargai sumbangan mereka mengimarahkan masjid dan surau. – UTUSAN ONLINE 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN