ISKANDAR PUTERI: Persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor akan diadakan dalam masa terdekat bagi meminda had umur kelayakan calon bertanding di negeri itu daripada 21 tahun kepada 18 tahun.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, sidang khas itu bagi meminda Fasal 16 Bahagian 2 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor yang ketika ini membenarkan warganegara berusia 21 tahun dan bermastautin di Johor layak menjadi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Beliau berkata, Johor diminta mengambil tindakan berhubung pelaksanan umur minimum calon 18 tahun bagi kerusi DUN selaras dengan peruntukan Seksyen 5 Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan yang dipinda melalui Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 [Akta A1603] yang diwartakan pada 10 September 2019 dan berkuat kuasa pada 11 September 2019.
“Sekiranya sesuatu pilihan raya melibatkan kerusi Dewan Negeri, calon 18 tahun belum boleh bertanding selagi tidak pinda. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyarankan negeri-negeri untuk pinda undang-undang tubuh bagi membolehkan umur minimum diturunkan kepada 18 tahun selaras Seksyen 5 Jadual Kelapan.
“Justeru, amat wajar bagi mematuhi Perlembagaan Persekutuan dan untuk keseragaman syarat jadi calon bagi kerusi Parlimen dan DUN, pindaan pada undang-undang tubuh negeri bagi menurunkan umur minimum dilaksanakan.
“Untuk tujuan itu, satu sidang khas Dewan Negeri akan diadakan seberapa segera bagi meminda Fasal 16 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 bagi DUN selaras dengan pindaan Seksyen 5 Jadual Kelapan,” katanya ketika sesi penggulungan Belanjawan Johor 2022 pada Sidang Keempat DUN Johor yang ke-14, di Bangunan Sultan Ismail di sini, hari ini.
Minggu lalu, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri bersetuju meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan individu berusia 18 tahun menjadi calon Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).
Perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-137 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Setakat ini, beberapa negeri telah meminda perlembagaan negeri masing-masing bagi tujuan tersebut antaranya termasuk Sabah pada Disember 2019; Perlis (Mei 2020); Terengganu (Ogos 2020); Sarawak (November 2020); Kelantan (Disember 2020), Perak (Julai 2020) Pulau Pinang (September 2021) dan Kedah, baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE