JKMPay diperluas ke seluruh negara pada 2023 - Utusan Malaysia

JKMPay diperluas ke seluruh negara pada 2023

RINA Mohd. Harun (dua, dari kiri) menyampaikan replika kad JKMPay kepada seorang penerima dalam program pembayaran bantuan kewangan tanpa tunai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Taman Sinar Harapan di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Program pembayaran bantuan kewangan tanpa tunai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang dikenali sebagai JKMPay diperluas ke seluruh negara pada 2023.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, fasa satu pelaksanaan program itu bermula bulan ini melibatkan lebih 2,000 penerima bantuan di enam negeri iaitu Terengganu, Kedah, Melaka, Perlis, Kelantan dan Selangor.

Katanya, fasa dua pula bermula pada awal tahun depan di Sabah dan Labuan sebelum dikembangkan ke Perak, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang serta Kuala Lumpur pada fasa tiga mulai 2023.

“Berdasarkan projek rintis yang dilaksanakan kepada 1,066 peserta di Perlis, Kedah dan Melaka pada Februari hingga Julai lalu, kita dapati seramai 845 orang menyokong pelaksanaannya kerana memberi impak positif dalam mengawal perbelanjaan wang bantuan.

“Memandangkan banyak manfaat yang dijana termasuk ekonomi setempat, maka kementerian bersetuju meluaskan inisiatif berkenaan bagi jangka masa panjang,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan program itu di Taman Sinar Harapan, di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam), Mohd. Muazzam Mohamed dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat. 

Program dengan kerjasama Bank Islam itu meningkatkan perkhidmatan JKM sekali gus memastikan bantuan yang diterima dimanfaatkan sepenuhnya untuk kelangsungan hidup. 

Sementara itu, menurut Rina, pelaksanaan JKMPay memberi peluang kepada penerima bantuan dan peruncit untuk terlibat dalam aktiviti ekonomi digital selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

Katanya, setakat ini sebanyak 424 premis perniagaan dilantik di seluruh lokasi projek fasa satu bagi kemudahan para penerima bantuan untuk melakukan pembelian barangan keperluan. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN