KUALA TERENGGANU: Jenayah komersial di negeri ini melonjak kepada 1,051 kes sepanjang 10 bulan pertama tahun ini berbanding 867 kes, tahun sebelumnya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden M. Zambri Mahmud berkata, peningkatan 30 peratus itu melibatkan penipuan pembelian dalam talian, Macau Scam dan skim pinjaman tidak wujud.
Bagaimanapun, katanya, jumlah kerugian menunjukkan penurunan daripada RM15.29 juta pada 2020 kepada RM13.49 juta, tahun ini.
“Kerugian akibat penipuan pembelian dalam talian adalah yang tertinggi direkodkan tahun ini sebanyak RM5 juta diikuti Macau Scam (RM1 juta) manakala lebih RM500,000 bagi pinjaman tidak wujud.
“Kita tidak menolak kemungkinan faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ramai yang menjadi mangsa penipuan,” katanya kepada pemberita selepas Kempen Pencegahan Jenayah Komersial Peringkat negeri di pusat beli-belah Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Mall di sini, hari ini.
Menurut M. Zamri, daripada jumlah itu, Kuala Terengganu mencatatkan kerugian tertinggi dengan RM4.18 juta menerusi 445 kes diikuti Hulu Terengganu (RM4.15 juta), Kemaman (RM1.72 juta), Dungun (RM1.33 juta) dan Besut (RM1.02).
“Dua lagi daerah iaitu Marang dan Setiu menunjukkan kerugian kurang daripada RM100,000,” katanya. – UTUSAN ONLINE