BATU GAJAH: Program Jelajah Integriti Pelancongan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), iaitu jelajah bermotosikal sejauh 600 kilometer di seluruh Perak mampu meningkatkan kesedaran dan integriti dalam kalangan pengusaha dan pelancong terutamanya selepas sektor pelancongan kembali dibuka.
Pengarah (SPRM) Perak, Datuk Mohd. Fauzi Mohamad berkata, program itu bertujuan menyampaikan mesej pencegahan rasuah selain mempergiat lagi industri pelancongan di negeri ini.
“Melalui jelajah ini, diharapkan ia dapat memberi mesej kepada penggerak pelancongan dan orang awam supaya lebih berintegriti walaupun sedang seronok bercuti.
“SPRM mengambil kaedah santai untuk berhubung dengan masyarakat khususnya kepada pengusaha pelancongan melalui program jelajah yang bergerak hampir 600 kilometer mengelilingi negeri Perak,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada majlis perasmian Program Jelajah Integriti Pelancongan SPRM oleh Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi di tapak warisan kapal korek di Tanjung Tualang Tin Dredge 5 (TT5) dekat sini hari ini.
Sebanyak 80 peserta konvoi bermotosikal akan mengelilingi Perak bermula hari ini sehingga Khamis pada program tersebut.
Antara lokasi yang disinggahi termasuk Istana Kellie di sini, Menara Condong di Teluk Intan, Dataran Bagan Datuk dan Zoo Taiping.
Sementara itu, Nolee Ashilin berkata, kerajaan negeri komited membantu SPRM menjayakan kempen anti rasuah dan integriti untuk diterapkan khususnya pada industri pelancongan. – UTUSAN ONLINE