Jangan 'pijak' pemimpin apabila kalah - Halimey - Utusan Malaysia

Jangan ‘pijak’ pemimpin apabila kalah – Halimey

HALIMEY ABU BAKAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: PKR Selangor mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan pemimpin lain untuk tidak hanya menjulang nama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika beroleh kemenangan, tetapi dipijak apabila menghadapi kekalahan.

Ketua Penerangan PKR Selangor, Halimey Abu Bakar dalam kenyataan berkata, jadi adalah sangat tidak wajar mana-mana pimpinan dalam komponen PH untuk menuding jari kepada Anwar, seolah-olah segala keputusan dibuat atas kehendak beliau semata-mata. 

Katanya, keputusan Pilihanraya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini sememangnya memberi tamparan hebat kepada PH namun perlu diingatkan setiap keputusan yang dibuat adalah berdasarkan konsensus bersama pimpinan dalam PH dan bukannya individu.

“PH sebaliknya perlu melakukan perubahan khususnya dalam strategi memenangi hati pengundi luar bandar dan anak muda serta bagaimana untuk menggalakkan pengundi luar untuk pulang mengundi yang merupakan antara faktor utama kekalahan pada PRN Melaka.

“Jangan sampai terikut-ikut sentimen yang dibawa penyokong pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr. Mahathir Mohamad seperti Khairuddin Abu Hassan yang semberono mendakwa PH tak boleh menang tanpa Dr. Mahathir dalam PH,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi membalas kenyataan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Lee Chin Chen daripada DAP yang menggesa Anwar berundur sebagai ketua pembangkang berikutan kekalahan PH pada PRN Melaka baru-baru ini.

Kenyataan Chin Chen disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak menghormati semangat perpaduan dan konsensus dalam PH.

Halimey menambah, Khairuddin diberi peringatan supaya jangan buat-buat lupa kepada perbuatan dosa Dr. Mahathir yang meletakkan jawatan secara tiba-tiba merosakkan nama baik PH. 

Malah pentadbiran selama 22 bulan bersama Ahli Parlimen Langkawi itu sebagai Perdana Menteri juga disifatkan sebagai satu liabiliti besar kepada kepimpinan PH hari ini.

“Ingatlah untuk sentiasa menghormati pimpinan utama kerana setiap perjuangan yang berjaya adalah perjuangan yang berdisiplin dan memelihara adab berpolitik. Ini bukan masa menjadi ibarat monyet di hutan dan bergerak tanpa struktur. 

“Itu adalah kebudak-budakan, merugikan dan ianya hanya menampakkan kebodohan diri sendiri sahaja. Apatah lagi anda hanya akan menjadi suara kepada pihak musuh PH,”katanya.

Jelasnya lagi, pemimpin PH perlu memelihara hubungan sesama parti komponen dalam PH dan jangan sampai anda dijadikan alat dan dipergunakan oleh musuh.-UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN