JASIN: Ahli politik diingatkan agar tidak mengulangi kancah krisis politik di Melaka hingga merebak ke Johor dan akhirnya rakyat menjadi mangsa keadaan.
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, politik ugut mengugut tidak memberi langsung sebarang faedah, malah mendatangkan kesan buruk kepada tanah air.
“Para pemimpin perlu tumpukan balik kepada isu-isu iaitu apa yang rakyat mahu, bukannya budaya mengugut sehingga menyusahkan orang lain.
“Pertembungan ego politik memerangkapkan pengundi. Sebaliknya mereka perlu mengubah untuk mengetengahkan agar suara rakyat didengari.
“Kalau ugut mengugut atau bercerita soal menumbangkan kerajaan, saya mengharapkan tokoh politik ini melihat kepada kerangka besar iaitu masalah rakyat,” katanya ditemui pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang mencabar parti itu menarik sokongan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad.
Semalam, Shahrir dilaporkan berkata, UMNO Johor bersedia sekiranya diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) jika Perikatan Nasional (PN) mahu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri ini.
Sementara itu, Akmal Nasrullah merangkap Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) berkata, terserah kepada Barisan Nasional (BN) sama ada ingin mengikuti jejak langkah Pakatan Harapan (PH) dan PN untuk melafaz ikrar dan menandatangani surat akujanji menentang rasuah.
Katanya, perkara itu sudah menjadi budaya politik bagi memperlihatkan kesungguhan ahli politik untuk menentang rasuah.
“Dalam pilihan raya ini, etika dan isu integriti perlu diambil kira untuk memperlihatkan ketegasan kita memerangi amalan salah guna kuasa.
“Sama ada BN bersedia untuk menolak rasuah atau tidak, itu terserah kepada mereka jika mahu memainkan peranan sama seperti politik lain,” katanya.










