Isu dalaman DAP Sabah tidak jejas persediaan PRU-15 - Utusan Malaysia

Isu dalaman DAP Sabah tidak jejas persediaan PRU-15

FRANKIE POON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KOTA KINABALU: Krisis dalaman Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah tidak akan menjejaskan persediaan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, pemilihan parti baru-baru ini merupakan keputusan ahli di peringkat akar umbi maka, keputusan itu harus dihormati dan beri fokus kepada perjuangan parti.

“Ini masalah dalaman parti dan penyokong parti tidak peduli apa yang berlaku di peringkat dalaman. Jangan disebabkan kepentingan individu kita mahu berpaling daripada parti, itu satu tindakan yang tidak matang.

“Kita seharusnya berjuang kerana sayangkan parti. Jika sayang dengan parti, kita tidak akan menjatuhkan mahupun meninggalkan parti.

“Sekiranya krisis ini berlaku dalam Parti Liberal Demoratik (LDP) atau Parti Maju Sabah (SAPP), sudah pasti kita juga tidak kisah. Mungkin kita hanya akan melihat perkara ini beberapa hari dan kemudian melupakannya.

“Jika kita berterusan bercakap mengenainya, itu bermakna kita mahu memusnahkan diri sendiri kerana orang di luar sana cukup matang untuk menilai apa yang berlaku,” katanya selepas Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) semalam.

Menurut beliau, semasa berjumpa dengan penyokong baru-baru ini, mereka juga menyatakan sokongan terhadap DAP tanpa mempedulikan krisis dalaman parti.

Walau bagaimanapun, beliau menghormati pandangan setiap pemimpin dalam DAP Sabah termasuk Datuk Jimmy Wong yang mengambil keputusan keluar daripada parti.

Katanya, keputusan bekas Penasihat DAP itu amat mengejutkan namun, pemilihan parti adalah keputusan ahli DAP bukan pilihan beliau sendiri.

Jika dikatakan tiada pemimpin daripada Kadazan, Dusun dan Murut (KDM) dalam kepimpinan DAP yang baru, lima daripada 15 kepimpinan tertinggi adalah pemimpim KDM. Pemilihan ini berdasarkan undian dan keputusan itu seharusnya dihormati.

Mengulas lanjut katanya, dakwaan tiga cawangan DAP di Sandakan keluar parti bagi mengikut jejak Jimmy Wong, Frankie berkata, hanya 50 ahli yang bertindak keluar parti dan dua cawangan itu baru hendak ditubuhkan.

“Belum tubuhkan lagi mereka sudah mahu tinggalkan parti maka, saya sarankan ahli-ahli DAP agar sertai parti kerana sayangkan parti dan perjuangannya dan bukan kerana kepentingan individu,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN