Indeks Daya Huni Malaysia instrumen pengukuran perancangan bandar  - Utusan Malaysia

Indeks Daya Huni Malaysia instrumen pengukuran perancangan bandar 

ISMAIL Sabri Yaakob merasmikan sambutan 100 tahun PBM sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia 2021 Peringkat Kebangsaan di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Indeks Daya Huni Malaysia akan diperkenalkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi pelaksanaan Rancangan Fizikal Negara Ke-4 (RFN Ke-4).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan melalui peranan PLANMalaysia itu memberi fokus kepada aspek daya huni yang boleh memberi nilai tambah dalam merancakkan ekonomi negara.

Beliau berkata, Indeks Daya Huni Malaysia itu akan menjadi pengukuran berimpak tinggi kepada semua lokaliti khususnya kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam memastikan perancangan perbandaran khususnya dirangka dengan mengambil kira kesemua kriteria di bawah RFN Ke-4.

“Indeks Daya Huni ini juga akan digunakan sebagai satu instrumen dasar ke arah menilai kemampanan bandar agar matlamat RFN Ke-4 dengan didasari Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), dapat dicapai sebaiknya.

“Saya yakin, pelaksanaan RFN Ke-4 ini akan menerima komitmen semua pihak khususnya kementerian dan agensi-agensi di peringkat Persekutuan mahupun negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan 100 tahun profesion perancang bandar Malaysia (PBM) sempena Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) 2021 Peringkat Kebangsaan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, KPKT melalui PLANMalaysia telah memuktamadkan dokumen RFN Ke-4 iaitu ia satu dokumen strategik yang menggariskan dasar pembangunan spatial negara selaras dengan RMK-12.

Menurut beliau, RFN Ke-4 dirangka dengan tiga teras pembangunan utama, 11 hala tuju strategik dan 39 tindakan pelaksanaan bagi memastikan Malaysia mampu menjadi sebuah negara makmur dan berdaya tahan dari segi ekonomi, alam sekitar dan keseimbangan sosial, demi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia keseluruhannya. 

Kata Perdana Menteri, ia juga menterjemahkan komitmen negara di peringkat global seperti Agenda Perbandaran Baharu (NUA) dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) serta berperanan menjadi instrumen penyelarasan pembangunan di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

“Oleh sebab itu, RFN Ke-4 hendaklah menjadi satu rolling-plan strategik dalam merealisasikan aspirasi Malaysia Berdaya Huni melalui kesemua teras yang menjadikan Keluarga Malaysia sebagai penerima manfaat utama dengan pendekatan keterangkuman kemakmuran,” katanya.

Perdana Menteri memberitahu, di seluruh dunia, Daya Huni menjadi satu instrumen penting dalam menarik pelaburan dan menjadikan persekitaran mesra pelabur. 

Katanya, ini termasuklah soal last-mile connectivity, akses kepada internet dan kemudahan awam serta pelbagai lagi faktor yang diambil kira dengan menjadikan rakyat sebagai teras utama penerima manfaat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN