PUTRAJAYA: Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) menyambut baik keberadaan dua antiviral terbaharu yang kini boleh digunakan fasiliti kesihatan persendirian secara pelesenan.
Presidennya, Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, kedua-duanya itu yang dikenali sofosbuvir dan ravidasvir telah diumumkan Kementerian Kesihatan untuk rawatan penyakit Hepatitis C.
“Langkah inklusif ini dijangka mampu menarik ramai pesakit termasuk pelancong kesihatan dari luar negara untuk mula datang ke Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, pihak kementerian dan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) mengumumkan Laluan Perjalanan Bervaksin (VTL) dari beberapa negara masuk ke Malaysia.
Usaha terkini itu turut disambut positif oleh APHM bagi merangsang kemasukan ramai pesakit asing berkemampuan untuk berbelanja besar sekali gus memacu ekonomi negara ini semula.
Sebelum pintu sempadan ditutup akhir Mac tahun lalu, Malaysia menerima seramai 1.22 juta pelancong kesihatan yang menjana pendapatan negara apabila berbelanja lebih RM1.7 bilion.
Terdapat 210 hospital swasta di seluruh negara dengan ada sejumlah 15,957 katil dan sektor ini dikawal selia oleh MHTC sejak ditubuhkan kementerian berkenaan pada 2011.
Kuljit berkata, Malaysia merupakan hab pelancongan perubatan yang popular sejak 2019 dan ada potensi besar susulan kos rawatan terendah di rantau Asia Tenggara.
Justeru dalam nada optimis, beliau yakin operator swasta sudah bersedia menerima pesakit asing bagi rawatan Hepatitis C selain mampu menjadikan Malaysia sebagai hab serantau.










