Hentikan kenderaan awam, polis kesan marsyal motosikal berkuasa tinggi - Utusan Malaysia

Hentikan kenderaan awam, polis kesan marsyal motosikal berkuasa tinggi

TANGKAP layar video tular sejak semalam memaparkan beberapa individu bertindak sebagai marsyal yang memberhentikan kenderaan awam bagi memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi di sebuah lampu isyarat di Port Dickson.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Polis sedang mengesan beberapa individu bertindak sebagai marsyal yang memberhentikan kenderaan awam bagi memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi di sebuah lampu isyarat, di sini seperti dipaparkan video tular dalam media sosial semalam. 

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, rakaman video tular berdurasi satu minit 10 saat yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook menunjukkan aksi marsyal mengawal dan memberhentikan kendereraan awam di persimpangan lampu isyarat Sua Betong di sini. 

“Ketika kejadian lampu isyarat jelas berwarna merah. Tindakan marsyal itu dipercayai bertujuan memberi laluan kepada sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi yang bergerak secara konvoi bagi melepasi lampu isyarat tersebut.

“Pergerakan motosikal berkuasa besar ini dari Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH) menghala masuk melalui lampu isyarat Sua Betong menghala ke bulatan Sunggala, Telok Kemang,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Jelas Aidi Sham,  polis sedang mengesan individu yang bertindak sebagai marsyal berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Polis dan Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Dalam pada itu, beliau turut menasihati kumpulan konvoi yang bergerak supaya tidak membuat sebarang tindakan memberhentikan, mengawal, melencong kenderaan di jalan awam tanpa sebarang kehadiran mana-mana pegawai polis.

“Tindakan ini boleh membahayakan kepada diri sendiri pengguna dan menyekat kebebasan bergerak di jalan awam,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN