JEMPOL: Seekor harimau kumbang betina seberat 40 kilogram ditangkap sepasukan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan pada 30 Oktober lalu di Kampung Bayai Baru, Batu Kikir di sini.
Ia selepas haiwan itu memasuki perangkap yang dipasang pihak Jabatan Perhilitan tiga hari sebelum itu.
Pengarah Perhilitan negeri, Nurul Ermi Ramli berkata, perangkap itu dipasang pada hari yang sama aduan dibuat penduduk kampung mengenai harimau kumbang yang berkeliaran di kawasan perkampungan berkenaan.
“Harimau kumbang betina ini dipindahkan sementara ke Jabatan Perhilitan Daerah Jempol untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut oleh pegawai veterinar jabatan dan kakitangan Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak.
“Ia akan dipindah dan dilepaskan ke habitat yang sesuai. Pihak jabatan berterima kasih kepada penduduk kampung atas kerjasama yang diberi sepanjang operasi ini dijalankan,” katanya. – UTUSAN ONLINE