Gua Wang Mbut, Tempurung simpan 1,001 khazanah - Utusan Malaysia

Gua Wang Mbut, Tempurung simpan 1,001 khazanah

AZMAN MD. YUSOF menunjukkan keunikan stalaktit yang menghiasi Gua Mbut ketika melakukan eksplorasi di gua tersebut dan Gua Tempurung di Wang Ulu, Kangar, Perlis, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Gua Wang Mbut dan Tempurung di Wang Ulu di sini yang belum diterokai menyimpan 1,001 khazanah serta nilai sejarah tersendiri.

Hal demikian dikongsi Setiausaha Kerajaan Negeri, Azman Md. Yusof selepas mengadakan eksplorasi di gua batu kapur tersebut bersama Pengarah Perhutanan negeri, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni, baru-baru ini.

“Ketika menelusuri gua berkenaan, kami mengambil masa lebih dua jam kerana berdepan dengan pelbagai cabaran antaranya perlu merangkak, melalui jalan yang sempit dan melalui laluan curahan air.

“Perjalanan dari dalam Gua Wang Mbut untuk sampai ke pintu gua adalah sejauh 30 meter. Kami menemukan sebuah kawasan yang mempunyai ruang luas dan sesuai dijadikan tapak perkhemahan bagi para pelancong di Perlis.

“Bagaimanapun, perkara tersebut perlu diperhalusi untuk melihat kesesuaiannya sebelum dibuka untuk sektor pelancongan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Menurut Azman, berdasarkan maklumat penduduk setempat, nama ‘Wang’ diambil sempena struktur gua tersebut yang dikelilingi batu manakala ‘Mbut’ pula adalah panggilan orang dahulu bermaksud berhati-hati semasa melalui jalan sempit yang berbatu.

“Difahamkan pada zaman pemerintahan Jepun dahulu, gua tersebut adalah tempat persembunyian bagi penduduk tempatan bagi mengelak keganasan komunis.

“Ketinggian dan bentuk gua yang dihiasi dengan keunikan stalaktit dan stalakmit menyerupai bentuk haiwan itu adalah satu daripada khazanah prasejarah yang nampak megah serta unik ditambah pula dengan batuan berusia sekitar ratusan tahun.

“Pada masa sama, Gua Tempurung yang jaraknya kira-kira 500-meter dari Gua Wang Mbut itu pula mempunyai keunikan ‘batu bersinar’ di dalamnya.

“Gua Tempurung mempunyai struktur lantai yang seakan-akan tempurung dan mempunyai keunikannya tersendiri,” ujarnya.

Katanya, khazanah di negeri ini harus dimanfaatkan bagi merancakkan industri pelancongan domestik yang mana penemuan gua-gua belum diterokai boleh dijadikan sebagai destinasi pelancongan menarik untuk dilawati. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya