PETALING JAYA: Pelakon dan pempengaruh terkenal, Sharifah Rose Sabrina meluahkan rasa gembira dan syukur apabila drama lakonannya di TV3, Kekasih Hati Mr Bodyguard mendapat tempat pertama pilihan penonton tempatan di penstriman popular, Disney+ Hotstar Malaysia.
Menerusi entri Instagram, Rose memaklumkan perkhabaran gembira itu selepas memuat naik satu video pendek yang ditayangkan di Buletin Utama mengenai berita tersebut, tempoh hari.
Sehubungan itu, dia juga meluahkan rasa sebak dan bangga selepas penat lelah untuk menjayakan drama rantaian berkenaan, ahkirnya mendapat sambutan positif penonton.
“Alhamdulillah, selepas bekerja keras, kita berjaya team #kekasihhatimrbodyguard! Sebak apabila dapat tahu berita gembira ini.
“Gembira dan bangga tetapi sedih. Selepas setiap hari hidup dekat set, rasa sedih kita dah sampai penghujung,” katanya di Instagram.
Dalam pada itu, dia menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat terutama kepada penerbit kerana memberi kepercayaan buat dirinya untuk membawa watak yang dilakonkannya.
“Terima kasih @creativeskillsolution memberi kepercayaan kepada Rose membawa watak sebagai Aralyn walaupun ramai yang mula susah untuk menerima saya dalam industri ini.
“Terima kasih juga @redzarosli banyak bersabar, mengajar serta selalu beri semangat di set. Tanpa anda, saya tidak akan sampai ke sini. Anda bekerja keras untuk memastikan semua orang kelihatan sempurna di layar skrin.
“Seterusnya, terima kasih abang @arieldmillan kerana banyak memberi tunjuk ajar. Saya akan mengingati kamu semua selamanya,” coretnya panjang.
Menjengah di ruangan komen, rata-rata peminat dan rakan artis turut menitipkan ucapan tahniah buat pelakon meningkat naik itu selain meniupkan semangat buatnya agar lebih maju dalam industri ini.