PETALING JAYA: Hubungan antara DAP dan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan berada dalam keadaan baik, walaupun terdapat perbezaan pandangan dengan pemimpin tertentu.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, meskipun terdapat beberapa pemimpin UMNO yang tidak bersefahaman dengan DAP, namun hubungan dengan kepemimpinan tertinggi adalah harmoni.
“Jujur saya katakan, tidak ada masalah untuk kami bekerjasama. Ada beberapa pimpinan mereka yang kita mungkin tidak bersefahaman.
“Tetapi dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, tidak ada masalah. Kerjasama kami baik dan saya sendiri tidak mempunyai masalah dengan beliau,” katanya dalam audio siar Lebih Masa yang dikendalikan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Anthony berkata, kedua-dua parti juga tidak berdepan sebarang isu di peringkat akar umbi terutama menjelang pilihan raya kerana tidak berlaku pertindihan kerusi.
Katanya, sekiranya wujud perselisihan faham, ia hanya melibatkan perbezaan personaliti atau karakter individu tertentu.
“Hubungan kita ialah hubungan dalam kerajaan. Kita sama-sama berada dalam kerajaan, jadi isu kerjasama sebenarnya tidak timbul.
“Di peringkat akar umbi juga tidak ada masalah. Menjelang pilihan raya pun tiada isu kerana tidak berlaku pertindihan kerusi,” katanya.
Beliau berkata, perbezaan pandangan adalah perkara biasa, namun hala tuju DAP akhirnya perlu disepakati bersama.
“Hala tuju parti akan ditentukan dalam Kongres Khas DAP pada 12 Julai ini.
“Saya beri ruang untuk berbahas tetapi apabila keputusan telah dibuat, semua pihak perlu bersama-sama mengikut hala tuju tersebut,” katanya. – UTUSAN










