Felda jadi lubuk penagih dadah - Utusan Malaysia

Felda jadi lubuk penagih dadah

MOHD. Faisal Mohd. Noor (dua dari kiri) menunjukkan barang rampasan dadah yang akan dilupuskan selepas sidang akhbar di IPK Negeri Sembilan, Seremban. - UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kawasan Felda di Negeri Sembilan dikesan menjadi antara ‘lubuk’ aktiviti penyalahgunaan dadah dengan anggaran 30 peratus daripada keseluruhan tangkapan pada tahun ini melibatkan lokasi tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Superintenden Mohd. Faisal Mohd. Noor berkata, kawasan Felda terlampau luas dan mempunyai jalan ‘tikus’ yang menyebabkan penagih memilih tempat itu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Kawasan dalam Felda terutama dalam kebun kelapa sawit menjadi port (lubuk) penagih dadah, kalau tidak biasa boleh sesat.

“Kebanyakan individu terlibat dalam aktiviti dadah kerana mereka ada duit serta dipengaruhi kawan-kawan serta orang sekeliling selain mahukan hiburan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Jelas Mohd. Faisal, sepanjang Januari hingga Oktober tahun ini, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan telah melakukan sebanyak 4,334 tangkapan berbanding 5,742 dalam tempoh yang sama tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, 2,303 melibatkan penagih dadah, 1,298 (pengedar dadah) dan 734 (pemilikan dadah).

“Jumlah anggaran keseluruhan nilai ranpasan dadah adalah RM2.64 juta dan nilai sitaan aset-aset adalah sebanyak RM5.5 juta,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya juga turut melancarkan Operasi Jihad Dadah melibatkan empat serbuan di Seremban, Tampin, Jelebu dan Jempol merangkumi kawasan Felda yang menjadi tumpuan penagih.

“Dalam operasi ini, penagih yang boleh dipulihkan kami akan serah kepada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Sebagai pihak berkuasa, kami menjalankan operasi tetapi kalau gaya dan pemikiran masyarakat masih sama mereka tetap akan terlibat dengan dadah,” katanya.

Dalam pada itu, JSJN Negeri Sembilan telah menjalankan pelupusan barang kes dadah yang selesai perbicaraan melibatkan rampasan bernilai RM23.5 juta dari 2010 hingga 2021.

“Pelupusan barang kes dadah itu melibatkan antaranya heroin (5,200 gram), ganja (11,200 gram), Erimin 5 (308,000 gram) dan daun ketum (26,000 gram),” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN