Empat rumah, dua kedai terjejas akibat air laut pasang besar  - Utusan Malaysia

Empat rumah, dua kedai terjejas akibat air laut pasang besar 

ANGGOTA APM memantau paras air berikutan amaran kejadian air pasang besar di Kampung Kepala Jalan, Kota Kuala Muda, Sungai Petani hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Sebanyak empat buah rumah dan dua kedai di Kampung Kepala Jalan, Kota Kuala Muda di sini terjejas berikutan fenomena air laut pasang besar pada awal pagi ini. 

Pegawai Pertahanan Awam merangkap Pengerusi Seketariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, terdapat sedikit kenaikan air setinggi 0.10 meter di Kampung Kepala Jalan namun tiada paras air luar biasa yang direkodkan.

“Tiada pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di sini setakat ini, namun pihaknya sentiasa bersiap sedia memantau keadaan penduduk yang terjejas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelasnya, pantai Kota Kuala Muda mencatatkan paras air laut setinggi 1.70 meter pada pukul 2 pagi berbanding ramalan tiga meter.

Menurutnya, pantai Tanjung Dawai, Merbok juga mencatatkan paras air lebih rendah dari semalam iaitu 1.80 meter berbanding paras ramalan 3 meter.

“Di Pantai Kuala Muda, pemantauan dilakukan di beberapa lokasi iaitu di Kampung Padang Salim, Kampung Hujung Matang dan Kampung Paya di mukim Kuala dan Kampung Sungai Meriam dan Kampung Sungai Yu di mukim Bukit Meriam.

“Sementara itu bagi Pantai Tanjung Dawai pula di Kampung Huma dan di Jeti Tanjung Dawai,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN