DUN Melaka tergantung? Tiada satu gabungan parti politik menang majoriti mudah - Utusan Malaysia

DUN Melaka tergantung? Tiada satu gabungan parti politik menang majoriti mudah

MOHD. AZIZUDDIN MOHD SANI dan SULAIMAN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penganalisis politik tidak menolak kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung berlaku selepas keputusan penuh Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), esok. 

Ini kerana berdasarkan pemerhatian, tiada satu pun gabungan parti politik sama ada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) mahu pun Pakatan Harapan (PH) dijangka memperoleh majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan negeri baharu di Melaka, esok.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah kanan, Politik Dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, keadaan itu akan menyebabkan gabungan parti sama ada BN, PN dan PH terpaksa berunding membentuk jajaran baharu atau kerajaan campuran. 

Mohd. Azizuddin berkata, persoalan mengenai gabungan parti mana akan mempunyai peluang besar untuk menang PRN Melaka dan membentuk kerajaan negeri baharu sukar dijawab kerana perkara itu bergantung kepada jumlah peratusan individu keluar mengundi dan pola sokongan mereka.

“Malah, terlalu banyak kawasan DUN yang dilihat menyaksikan persaingan dan sokongan hampir seimbang antara parti bertanding terutama BN dan PH, serta PN yang mempunyai kekuatan tersendiri untuk memecahkan undi Melayu dan cuba untuk memenangi beberapa kerusi berkenaan.

“Ini akan menyebabkan kita sukar meramal gabungan parti mana akan memenangi PRN Melaka, biarpun di atas kertas, BN nampaknya mempunyai kelebihan untuk membentuk kerajaan negeri nanti,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Ditanya sama ada tindakan PN menamakan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon Ketua Menteri Melaka baharu andai kata gabungan berkenaan menang PRN Melaka, Mohd. Azizuddin menegaskan, perkara itu tidak memberikan impak terlalu besar kepada sokongan pengundi.

“Saya rasa impak pengumuman itu ada terutama dalam kalangan pengundi muda dan wanita, namun ia tidak memberi kesan sehingga membantu PN menang besar dan membentuk kerajaan baharu negeri Melaka.

“Ini kerana beliau (Mas Ermieyati) adalah muka baharu diketengahkan bagi merebut kerusi DUN Tanjung Bidara pada PRN Melaka kali ini, selain faktor pengaruh Pas yang tidak kuat di Melaka,” katanya.

Bagaimanapun, Mohd. Azizuddin tidak menolak kemungkinan pencalonan Mas Ermieyati sebagai Ketua Menteri Melaka akan membantu beliau menewaskan dua calon lain, termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh (BN) dan Zainal Hassan (PH) bagi merebut kerusi Tanjung Bidara, esok.

Dalam pada itu, Mohd. Azizuddin juga meramalkan bahawa keputusan PRN Melaka esok juga dijangka membawa perubahan besar kepada landskap politik Malaysia terutama sokongan Ahli Parlimen PN terhadap Kerajaan Persekutuan sekarang dan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, Mohd. Azizuddin berkata tindakan lanjut sama ada Ahli Parlimen PN akan menarik balik atau meneruskan sokongan diberikan kepada Perdana Menteri adalah terletak ditangan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Pengerusi PN dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Begitu juga sekiranya UMNO mahu membentuk jajaran politik baharu bersama PH yang ditunjangi DAP dan PKR, sudah pasti akan mendapat tentangan hebat daripada pemimpin dalaman parti berkenaan sendiri terutama mereka yang mahu kekal bersama PN dan masih memegang keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2020,” katanya. 

Sementara itu, penganalisis politik, Prof. Emeritus Datuk Dr. Sulaiman Yassin turut berpendapat, keputusan PRN Melaka memang sukar diramal kerana saingan antara calon terutama BN, PN dan PH agak sengit.

Berikutan itu, Sulaiman yang juga bekas Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) juga berpandangan situasi DUN tergantung tidak mustahil berlaku jika semua gabungan parti bertanding gagal mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri baharu.

Malah, Sulaiman berkata beliau tidak menolak kemungkinan PN akan kembali bergabung dengan PH atau BN dan PH untuk membentuk jajaran politik dan kerajaan negeri baharu di Melaka.

“Perkara itu bukan satu benda mustahil berlaku kerana apa paling penting bagi semua gabungan parti politik ialah untuk kembali berkuasa dan membentuk kerajaan negeri,” katanya.

Berikutan itu, Sulaiman berharap pengundi Melaka akan membuat pilihan bijak dan memilih calon benar-benar berwibawa, bebas rasuah dan ikhlas berkhidmat untuk rakyat bukannya mengkayakan diri sendiri dan kroni.

Sulaiman juga tidak menolak kemungkinan bahawa keputusan PRN Melaka sedikit sebanyak akan memberikan kesan kepada kerjasama PN dan BN di peringkat Kerajaan Persekutuan. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN