SEPANG: Belum habis hilang kesedihan selepas pemergian cucu tersayang, seorang wanita warga emas terpaksa pula meratapi kematian suaminya.
Dua berita menyedihkan itu terpaksa dilaluinya dalam tempoh 48 jam.
Jumaat lalu, Mahani Hamid, 68, bersedih atas kematian cucu perempuannya, Nur Alisha Safiya Mohd Azlin, 7, selepas dirempuh van sekolah dinaiki di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi, di sini.
Pagi tadi, dia menerima berita kematian suaminya, Saad Hashim, 70, akibat derita penyakit kencing manis sejak 10 tahun lalu.
Mahani ketika di hubungi berkata, arwah suaminya menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 4 pagi tadi di kediamannya di Felda Keratong 5, Bandar Tun Razak, Pahang.
Katanya, kehilangan dua insan tersayang dalam tempoh 48 jam adalah sesuatu yang memeritkan.
“Saya akui berat untuk terima pemergian dua insan tersayang serentak. Baru semalam saya ziarah cucu, hari ini suami pula meninggalkan saya,” katanya.
Katanya, dia sempat menatap wajah cucunya buat kali terakhir ketika solat jenazah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya, malam tadi.
Mahani berkata, dia tidak mengikuti majlis pengebumian cucunya kerana mahu bergegas pulang ke kampung kerana teringatkan arwah suami.
“Jenazah arwah suami dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Keratong 4 dan 5 Bandar Tun Razak, hari ini,” katanya.
Sementara itu, anak perempuan Mahani, Anom Suhana, 40, berkata, ibunya bergegas mahu pulang ke kampung kira-kira jam 8.30 malam tadi iaitu sebelum majlis pengebumian Nur Alisha di Tanah Perkuburan Islam Kampung Labu Lanjut.
“Sebaik tiba di kampung, keadaan arwah ayah sihat dan tidak menunjukkan apa-apa tanda sebelum ibu memaklumkan, arwah ayah sudah meninggal dunia kira-kira jam 4 pagi. -UTUSAN ONLINE