IPOH: Deepavali tahun ini amat bermakna buat K. Kamalanathan, 63, dan keluarganya apabila bakal memiliki tanah dan rumah sendiri selepas hampir 10 tahun menunggu.
Kamalanathan merupakan bekas pemandu di Pejabat Menteri Besar Perak yang bersara pada tahun 2000 akibat masalah kesihatan, gembira menerima perkhabaran itu kerana dia kini tidak mampu bekerja untuk menyara keluarganya.
Menurutnya, jaminan yang diberikan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad bahawa permohonannya untuk memiliki tanah lot di bawah program Rancangan Kampung Tersusun (RPT) akan diuruskan dalam masa terdekat, amat menggembirakannya.
“Saya benar-benar rasa seronok menerima berita ini kerana impian saya mahukan tanah dan rumah sendiri sebab saya tidak mampu membayar sewa rumah.
“Saya berjanji dengan Menteri Besar, selepas dapat tanah RPT dan ada rumah sendiri, saya dan isteri akan berniaga makanan untuk menyara dua anak kami,” katanya.
Kamalanathan menerima kunjungan Saarani di rumah sewanya di Desa Lahat Sri Wang di sini hari ini.
Menurutnya, kejadian dilanggar penagih dadah ketika menunggang motosikal pada tahun 80-an dan terjatuh tangga ketika bertugas di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada tahun 2000, menyebabkan dia menjalani lima pembedahan di kaki kanan.
Menurutnya, selepas kejadian jatuh tangga, doktor mengesahkan dia tidak boleh bekerja dan menasihatkan agar dia bersara.
Katanya, pada masa itu gajinya hanya RM900 dan menerima pencen sebanyak RM171 sebulan.
“Sekarang saya menerima pencen sebanyak RM303 dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450.
“Jumlah itu tidak cukup untuk membayar sewa rumah dan bil elektrik serta air yang sudah tertunggak hampir 10 bulan sebanyak lebih RM4,000.
“Saya betul-betul tidak mampu, tambahan pula anak masih bersekolah, sebab itu saya memohon tanah RPT untuk membina rumah bantuan supaya kami dapat tinggal tanpa perlu bayar sewa,” katanya.
Menurutnya, sebelum ini isterinya bekerja sambilan sebagai tukang cuci inap desa dengan upah RM30 hingga RM80 sebuah rumah untuk membantunya menyara mereka sekeluarga selain pernah berniaga nasi lemak.
“Tapi disebabkan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia hilang pekerjaan dan kami tiada pendapatan selain mengharapkan duit yang saya terima dan bantuan orang ramai yang prihatin dengan kesusahan hidup kami,” katanya.
Sementara itu, Saarani berkata, pihaknya akan membantu menyelesaikan tunggakan sewa rumah, bil elektrik dan air yang ditanggung Kamalanathan menerusi Yayasan Bina Upaya (YBU).
Menurutnya, pihaknya juga sedang membantu Kamalanathan mencari tapak rumah yang sesuai buat Kamalanathan dan keluarganya.
“Kita sedang menguruskan perkara itu agar beliau dapat duduk di tempat lain yang tak memerlukan dia membayar sewa dan ada kemudahan untuk beliau memulakan perniagaan,” katanya. – UTUSAN