KUALA PILAH: Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan menerbitkan sebuah buku bertajuk Dari Dapur Peladangnita yang menghimpunkan lebih 100 resipi masakan ahli PeladangNita dari seluruh negara.
Ketua Pengarah LPP, Datuk Azulita Salim berkata, buku itu akan dilancarkan sempena Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2021 bulan depan.
“Kami akan mengumpulkan resipi tradisi dari kampung yang menjadi kegemaran ramai yang mungkin tidak diketahui. Ia akan dikumpulkan pada setiap program khas iaitu Dari Dapur Peladangnita bersama golongan wanita ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) setiap negeri.
“Kami akan melancarkan buku resipi berkenan pada HPPNK 2021 yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada 23 Disember depan. Lebih 100 resipi dijangka dihimpunkan dalam buku berkenaan dan ramuan resipi unik dari kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Dari Dapur Peladangnita Masak Apo Tu? di Seri Menanti di sini hari ini.
Menurut Azulita, keunikan buku resipi tersebut, ia juga menghimpunkan makanan tradisi bertujuan sebagai pengenalan kepada golongan muda.
“Selain itu, buku berkenan turut menyediakan resipi pencuci mulut,” katanya sambil memberitahu buku berkenaan akan dijual kepada orang ramai kelak.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, Program Dari Dapur Peladangnita Masak Apo Tu? pula menghimpunkan resipi warisan asli Negeri Sembilan yang diwakili oleh 10 kumpulan Peladangnita di negeri ini.
“Program diadakan bermula hari ini sehingga esok, ia julung kali diadakan yang bertujuan untuk mempromosi dan menghimpunkan resipi warisan asli berdasarkan daerah dan luak di negeri ini.
“Menu yang dipertandingkan adalah berasaskan produk salai (ikan sembilang), menu lauk dan daerah serta pencuci mulut berasaskan beras pulut Lagenda keluaran PPK Langkawi,” katanya.
Sementara itu, Azulita berkata, semua ahli LPP di seluruh negara berpeluang menikmati kemudahan Kad Pintar Keluarga Peladang (PELADANG-i) yang mempunyai gabungan ciri-ciri tiga dalam satu menerusi kad debit Co-Brand Agrobank.
“PELADANG-i juga dijadikan sebagai kad identiti keahlian berkonsepkan transaksi perbankan moden yang turut dilengkapi manfaat perlindungan Takaful sehingga RM5,000 hanya dengan bayaran RM5 setahun,” katanya.