Politik sudah jadi darah daging saya – Jagdeep

Politik sudah jadi darah daging saya – Jagdeep

JAGDEEP Singh Deo aktif menyertai program kemasyarakatan di kawasan DUN Datok Keramat, Pulau Pinang. – MINGGUAN/SAFINA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POLITIK itu sudah ada dalam darah saya.” Itu kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat, Jagdeep Singh Deo ketika ditanya mengenai permulaan penglibatannya dalam dunia politik.

Jagdeep, 54, ialah antara wakil rakyat berpengalaman di Pulau Pinang selepas lebih dua dekad berkecimpung dalam dunia politik setelah menamatkan kerjaya guamannya.

Menurut beliau, perjalanan politiknya bermula secara semula jadi sejak kecil kerana dibesarkan dalam keluarga yang aktif dalam perjuangan masyarakat menerusi perjuangan mendiang bapanya, Datuk Seri Karpal Singh.

“Apabila saya dilahirkan saja, ia sudah dalam darah saya. Ayah (Karpal) sendiri seorang ahli politik. Jadi, dari kecil saya memang hidup dalam suasana itu,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Jagdeep yang kini memasuki penggal keempat sebagai ADUN Datok Keramat berkata, kawasan yang diwakilinya itu adalah sebuah kawasan bandar padat yang sering berdepan pelbagai cabaran khususnya melibatkan banjir kilat.

Mengimbau pengalamannya sejak memegang kerusi DUN Datok Keramat kira-kira 17 tahun lalu pula, Jagdeep berkata, isu banjir merupakan cabaran terbesar dan paling mening­galkan kesan sepanjang khidmatnya.

“Saya sendiri pernah terpaksa menggunakan bot untuk masuk ke kawasan banjir. Pengalaman begitu memang tak boleh dilupakan.

“Tambahan pula, kita lihat rakyat yang tinggal di kawasan yang kita wakili itu dirundung duka akibat kehilangan harta benda kerana banjir.

Jadi, ia menjadikan tekad saya untuk atasi banjir itu lebih kukuh,” katanya.

Jagdeep Singh Deo
Usia : 54
Parti : DAP
Jawatan :
 ADUN Datok Keramat
 Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi)

Beliau berkata, kejadian banjir besar yang melanda Pulau Pinang pada 2017 iaitu pada September dan November merupakan antara detik yang terburuk terutamanya di kawasan DUN Datok Keramat ketika itu.

Insiden itu, kata Jagdeep, menjadi titik perubahan yang menggerakkan usaha lebih agresif untuk melaksanakan projek mitigasi banjir di kawasan terbabit.

“Sejak itu, pelbagai kerja melebarkan serta mendalamkan parit di sekitar Jalan P. Ramlee telah dijalankan sementara menunggu projek besar seperti RTB (Rancangan Tebatan Banjir) Sungai Pinang bernilai RM650 juta direalisasikan,” katanya.

Usaha itu, jelas beliau, sudah mula menunjukkan hasil yang positif apabila kawasan berkenaan tidak lagi dinaiki air walaupun ia dilanda hujan lebat beberapa kali.

“Dulu, jika hujan sedikit pun sudah berlaku banjir kilat terutamanya di kawasan Jalan P.Ramlee. Sekarang, syukurlah kerana keadaan jauh lebih baik,” katanya.

Selain banjir, Jagdeep berkata, beliau turut memberi tumpuan kepada isu kediaman kerana majoriti kawasan perumahan di Datuk Keramat terdiri daripada perumahan lama yang memerlukan kerja-kerja penaiktarafan.

Sebagai bekas Exco Perumahan negeri yang kini menggalas tanggungjawab yang lebih besar iaitu sebagai Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, beliau mengakui bahawa cabaran menyediakan kediaman berkualiti untuk rakyat masih menjadi agenda penting yang akan terus diperjuangkannya.

“Jika anda lihat, kawasan DUN Datok Keramat ini tidak besar, tetapi, sangat padat. Banyak perumahan sudah berusia dan perlu diperbaharui demi keselesaan penduduk. Agenda perumahan selesa untuk penduduk negeri merupakan antara salah satu fokus yang perlu saya laksanakan,” katanya.

Jagdeep berkata, usaha menaik taraf kemudahan tidak boleh tertumpu kepada satu DUN sahaja kerana pembangunan harus dinikmati di seluruh negeri termasuk Seberang Perai.

“Saya bukan hanya menjaga DUN Datok Keramat. Saya Timbalan Ketua Menteri, jadi, saya mesti jaga seluruh Pulau Pinang, termasuk di Seberang (Perai),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa projek mega negeri turut memberi manfaat langsung kepada penduduk di Datok Keramat termasuk pembangunan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.

Menurutnya, struktur tiang LRT yang telah mula kelihatan membuktikan projek tersebut berjalan dengan baik dan bakal mengubah mobiliti Pulau Pinang.

“Apabila siap nanti, penduduk di DUN Datok Keramat akan mempunyai akses pengangkutan LRT yang lebih mudah. Ia sebahagian daripada perancangan jangka panjang negeri,” katanya.

Ketika ditanya mengenai cabaran sebagai ahli politik, Jagdeep berkata, kekangan masa bersama keluarga adalah antara aspek yang paling dirasai setelah berkecimpung selama lebih 18 tahun.

Walaupun begitu, katanya, beliau tetap komited untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat yang diwakilinya.

“Kesibukan itu lumrah sebagai ahli politik, tetapi, khidmat kepada rakyat adalah amanah. Itu keutamaan saya,” katanya.
Bagi perancangan masa depan, beliau menegaskan fokus akan terus diberikan kepada peningkatan infrastruktur, kelancaran trafik serta kemudahan awam di kawasan bandar.

“Harapan saya adalah kehidupan yang baik dan selesa untuk semua rakyat, bukan hanya di DUN Datok Keramat Kita mahu yang terbaik untuk semua rakyat Pulau Pinang,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN