DAP tak serik letak calon Melayu? - Utusan Malaysia

DAP tak serik letak calon Melayu?

MUHAMAD Danish Zainudin (kiri) menyantuni masyarakat yang bersarapan di sebuah restoran di Peringgit, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kisah berpaling tadah pemimpin Melayu DAP daripada parti itu bukanlah perkara baharu kerana sejarah telah mencatatkan beberapa peristiwa sedemikian.

Daripada setinggi-tinggi ja­watan disandang contoh­nya bekas Naib Pengerusinya, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim sehingga kepada pimpinan biasa seperti Mohamed Razali Abdul Rahman, DAP nampak­nya tidak serik meraikan pe­mimpin Melayu ke dalam orga­nisasi mereka.

Dalam konteks politik Me­laka, kejatuhan Kerajaan Ne­geri Pakatan Harapan (PH) pada Mac 2020 turut disumbang oleh pemimpin Melayu parti itu iaitu bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka, Datuk Norhizam Hassan Baktee.

Biarpun episod tersebut memberi impak mendalam se­perti diakui Pengerusi DAP ne­geri, Datuk Tey Kok Kiew, DAP masih membuka peluang kepada pemimpin Melayu dalam arena Pilihan Raya Ne­geri (PRN) Melaka melalui calon muda di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu, Muhamad Danish Zainudin.

Mengulas berkenaan isu ter­babit kepada Utusan Malaysia, Muhamad Danish berkata, sejarah juga sudah membuktikan kesetiaan pemimpin Melayu kepada parti dengan menjadikan Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman dan Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji sebagai sandaran.

“Satu perkara kita jangan pernah lupa, DAP dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukan mengetengahkan Norhizam sahaja. Ada lagi beberapa calon Melayu DAP sebagai contoh ADUN Ketari dan Ahli Parlimen Raub.

“Kesemua calon ini masih kekal setia dengan perjua­ngan parti. DAP sebagai parti me­ngangkat aspirasi perjuangan untuk kesejahteraan masyarakat dalam memacu kedamaian di negara ini.

“Jadi, tak perlu fokus kepada Norhizam kerana majoriti calon lain yang diberikan peluang oleh parti untuk berada dalam barisan hadapan masih kekal setia dengan parti. Perkara ini perlu jadi inspirasi kepada saya,” katanya ketika dihubungi.

DUN Pengkalan Batu me­nyaksikan perlawanan sengit lima penjuru antara Muhamad Danish dengan Norhizam yang bertanding atas tiket Bebas serta calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kalsom Noordin; calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Azrudin Md. Idris dan calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohd. Aluwi Sari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN