MELAKA: Calon Bebas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban berjanji akan meneruskan perancangan projek tebatan banjir dengan peruntukan lebih RM100 juta yang diluluskan sebelum ini, sekiranya diberikan mandat oleh rakyat.
Datuk Ng Choon Koon berkata, perancangan itu telah dibinanya ketika menjadi ahli dewan undangan negeri (ADUN) kerusi itu pada 2013 atas tiket MCA, namun tertunda selepas berlaku tsunami politik yang menumbangkan kerajaan semasa.
Jelasnya, peruntukan sebanyak RM100 juta itu diluluskan pada 2018 meliputi perancangan termasuk membina kolam takungan dan mendalamkan sungai di empat lokasi utama iaitu di Pokok Kempas, Assam Kumbang, Kampung Lubuk Kasau dan Kampung Tehel.
“Selepas peruntukan diluluskan, saya memang bernekad untuk melaksanakan projek tebatan tersebut, namun hasrat itu tidak kesampaian selepas tewas di DUN Kesidang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
“Sekiranya diberi peluang semula, saya akan pastikan kira-kira 2,000 penduduk DUN ini yang sering terjejas dalam bencana banjir dapat tidur lena selepas melaksanakan projek tebatan banjir,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, perkara itu merupakan fokus utama manifesto dibawanya, malah turut menjalankan pemantauan berterusan meskipun tidak diberikan mandat pada PRU lalu.
“Sebenarnya, saya telahpun mewujudkan kumpulan sukarelawan yang bersedia 24 jam bagi membantu mangsa-mangsa banjir setiap kali bencana berlaku dan ia merupakan sokongan berterusan yang diberikan.
“Sementara menunggu projek tebatan banjir ini dilaksanakan kerajaan Pusat, saya akan meminta bantuan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membersihkan sungai ini dengan lebih kerap bagi mengurangkan kesan banjir,” jelasnya.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini, Choon Koon yang memegang kerusi Bemban selama satu penggal sebelum tewas apabila berpindah ke DUN Kesidang pada PRU-14 bakal berdepan saingan lima penjuru.
Beliau akan menentang calon baharu Perikatan Nasional (PN) yang juga Timbalan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Melaka, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub, calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Tey Kok Kiew, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Koh Chin Han dan seorang lagi calon Bebas, Azmi Kamis. – UTUSAN










