Cari jalan selesai isu kesukaran kemasukan awak-awak warga asing - Utusan Malaysia

Cari jalan selesai isu kesukaran kemasukan awak-awak warga asing

HASLINA ABDUL HAMID (empat dari kiri) berbual bersama wakil-wakil penerima geran program Agropreneur Muda peringkat negeri Perlis di kampus Unimap Kubang Gajah, Arau, Perlis, hari ini. - UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memandang serius masalah prosedur ketat pengambilan pekerja atau awak-awak warga asing yang sekali gus menjejaskan operasi nelayan laut dalam di negara ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, perbincangan bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia telah diadakan bagi mencari jalan terbaik menyelesaikan isu tersebut.

Katanya, isu berkenaan dijangka selesai dalam tempoh terdekat dan panduan mengenai proses kemasukan kru bot dari negara asing telah disiapkan.

Ujarnya, isu ketiadaan pekerja khususnya melibatkan warga asing sememangnya diakui memberi kesan kepada pengusaha bot ini.

“Isu kemasukan awak-awak atau kru bot nelayan laut dalam bukan sahaja melanda negara kita, malahan banyak negara lain turut terkesan akibat prosedur operasi standard (SOP) yang diperketat susulan pandemik.

“Kita turut melakukan rekalibrasi bagi memastikan proses pengambilan pekerja asing dalam sektor perikanan pada masa hadapan lebih teratur daripada segi dokumentasi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Klinik Usahawan Agro peringkat negeri Perlis di sini hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan keresahan pengusaha bot apabila ketiadaan pekerja selain sukar mendapatkan pekerja warga asing berikutan prosedur yang ketat dalam tempoh pandemik Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN