KULAI: Kerajaan negeri mempertimbang cadangan untuk menaik taraf daerah Kulai menjadi sebuah bandar raya.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, banyak perkara yang perlu diberi tumpuan oleh pemimpin antaranya dari aspek kebajikan, kepentingan dan kemudahan orang ramai untuk disediakan.
“Pemimpin di sini mahu Majlis Perbandaran Kulai dinaik taraf menjadi Majlis Bandaraya Kulai. Boleh sahaja kita pertimbang tetapi dengan syarat, kebajikan, kepentingan dan kemudahan orang ramai juga sudah tersedia barulah molek daerah ini menjadi bandar raya.
“Tetapi kalau setakat gah pada nama sahaja sedangkan sampahnya bersepah, paritnya sumbat atau jalan yang berlubang-lubang, macam mana kita hendak jadi sebuah bandar raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian Hak Milik Tapak Rumah (Tapak Ganti) Generasi Kedua Felda Inas sempena lawatan kerja sehari ke daerah ini.
Yang turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Salehuddin Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Tosrin Jarvanthi.
Dalam pada itu, Hasni memberitahu, lambakan pekerja asing di daerah itu khususnya di Kawasan Senai tidak akan mendatangkan kebimbangan kepada penduduk setempat.
Beliau berkata, perkara itu turut dibincangkan bersama pimpinan daerah dalam mengimbangi keselamatan penduduk tempatan dengan kebanjiran tenaga kerja asing hasil pelaburan pesat di daerah itu.
Katanya, Kulai adalah antara daerah yang memiliki kawasan industri yang penting di negeri ini.
“Kita bermesyuarat tapi kita bukan fikir soal pelaburan sahaja. Kita berfikir mengenai dengan adanya pelaburan ini, kehadiran ramai pekerja asing adakah masyarakat tempatan selamat.
“Kehadiran mereka yang diambil bekerja menjadi tanggungjawab kerajaan untuk memikirkan keselamatan masyarakat setempat. Kita lihat bagaimana cara dan langkah yang perlu diambil agar keselamatan warga tempatan terus terjaga walaupun pembangunan terus datang dan mengalir ke daerah Kulai khususnya di Senai,” katanya. – UTUSAN










